BTS Media

Siti Dhia selamat, ditemukan jalan berseorangan, kata ibu

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak Selasa Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, 12, ditemukan selamat ketika berjalan berseorangan di kawasan lot kedai di Sri Rampai, pada 2.28 pagi tadi.

Ibunya, Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili mengesahkan perkara itu kepada Bernama.

Beliau berkata, penemuan anaknya itu oleh anggota polis IPD Dang Wangi dimaklumkan kepadanya oleh Unit Rondaan Kawasan Rukun Tetangga Sri Rampai.

“Siti Dhia Batrisyia telah diserahkan kepada saya dan ketika ini kami berada di Hospital Kuala Lumpur bagi melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas anak saya ini,” katanya.

Terdahulu beliau turut berkongsi berita melegakan itu dalam kemas kini terbaharu di Facebook, kira-kira  pukul6.45 pagi.

“Allahuakbar…Allah Maha Besar. Dengan segala doa-doa serta pertolongan dari semua orang anak saya Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar telah dijumpai dengan selamat. Kami jumpa dia berjalan berseorangan pada jam 2.28 pagi,” katanya.

Syarifah Rosfazila turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan polis IPD Dang Wangi atas usaha mengesan anaknya itu.

Sebelum ini, dilaporkan ibu kepada Siti Dhia Batrisyia itu percaya anak perempuannya bertindak keluar dari rumah di Pudu disebabkan oleh perselisihan faham.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/03/17/siti-dhia-selamat-ditemui-jalan-berseorangan-kata-ibu/

Leave a Comment