BTS Media

Salah diluluskan projek kereta kabel Bukit Bendera tanpa penyertaan orang ramai, kata SAM

TINDAKAN Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (DOE) meluluskan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek Kereta Kabel Bukit Bendera Pulau Pinang tanpa pameran awam dan maklum balas awam, adalah salah, kata Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata demikian kerana di bawah Perintah Kualiti Alam Sekitar (Aktiviti Preskripsi) (Penilaian Impak Alam Sekitar) 2015, semua aktiviti yang berkaitan dengan ‘pengangkutan’ disenaraikan sebagai aktiviti Jadual 2, di bawah perintah tersebut, memerlukan pameran awam dan komen awam.

Dalam Jadual 2 Perintah EIA, ‘pengangkutan’ disenaraikan sebagai aktiviti yang ditetapkan dan merangkumi “pembinaan laluan baharu atau laluan cabang bagi projek pengangkutan awam.”

“Pandangan kami adalah bahawa projek kereta kabel memang merupakan ‘projek pengangkutan pantas besar-besaran (mass transportation)‘, kerana melibatkan pengangkutan 1,000 penumpang setiap jam ke puncak bukit seperti yang diumumkan oleh pengurus besar Penang Hill Corporation (PHC) Datuk Cheok Lay Leng baru-baru ini.

“Jalur kereta kabel mungkin hanya 2.7km, tetapi keseluruhan sistem sedang dibina di kawasan yang sangat sensitif alam sekitar melibatkan dua bukit, yang merupakan rizab biosfera, dan Taman Botani Pulau Pinang.

“Selain itu, projek kereta kabel tersebut juga melibatkan cerun curam melepasi 35 darjah di beberapa bahagian, yang memerlukan EIA berada di bawah Jadual Kedua Perintah EIA, justeru memerlukan paparan dan ulasan awam.

“Oleh itu, dari segi undang-undang, alam sekitar dan impak sosial, adalah wajar dan bijak bagi EIA dikemukakan kepada awam bagi mendapatkan komen dan maklum balas,” katanya hari ini.

Meenakshi menjelaskan bahawa SAM diberitahu hanya 50 pokok akan dipindahkan untuk projek kereta kabel bernilai RM245 juta itu, dan is adalah projek mesra alam.

Katanya, itu mungkin pandangan pihak berkuasa, tetapi ia adalah tanggungjawab orang ramai untuk membuat penilaian bebas terhadap jaminan ini.

“Undang-undang mesti dipatuhi, dan paparan awam dan komen adalah wajib, sebelum sebarang kelulusan di bawah undang-undang mengenai EIA, untuk pengangkutan sebegitu di kawasan sangat curam dalam kawasan yang sensitif alam.

“Apatah lagi, walaupun dalam mendapatkan kelulusan perancangan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Penilaian Impak Sosial (SIA) perlu dilakukan, termasuk Penilaian Impak Trafik (TIA).

“Tidak satu pun telah dikemukakan kepada awam,” tambahnya.

Bukit Bendera dan Taman Botani, menurut Meenakshi, ialah kawasan yang mendapat banyak perhatian orang ramai. Beliau berkata selain dari segi undang-undang, ia merupakan sesuatu tindakan pentadbiran yang baik untuk memaparkan secara terbuka EIA, SIA dan TIA bagi mendapat maklum balas dan komen orang ramai.

“Meluluskan tanpa ketelusan akan merosakkan keyakinan awam. Kami menyeru JAS dan kerajaan Pulau Pinang supaya mempamerkan dokumen-dokumen ini kepada orang ramai dan tidak memulakan sebarang kerja sehingga mereka diberi peluang memberi maklum balas mengenai projek kereta kabel ini,” katanya.

Dilaporkan bahawa sistem kereta kabel untuk Bukit Bendera akan dimajukan oleh syarikat bertaraf global Doppelmayr, yang telah membina lebih 86 sistem kereta kabel di tapak Warisan UNESCO, Geopark dan Biosfera serta taman negara pelbagai negara di seluruh dunia.

Pada bulan Disember 2022, Ketua Menteri Chow Kon Yeow telah mengumumkan bahawa Hartasuma, peneraju dalam industri rel tempatan, telah berjaya memperoleh tawaran untuk projek kereta kabel tersebut.

Hartasuma dipilih daripada enam syarikat yang mengemukakan Permintaan Cadangan (RFP) untuk projek berkenaan.

Anggaran pelaburan syarikat dijangka adalah sebanyak RM245 juta dan projek ini berdasarkan tempoh konsesi selama 30 tahun.

Projek ini dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dan beroperasi sepenuhnya.

-BTS Media

Leave a Comment