GAMBAR ATAS: BTS Media.
Oleh Yusoff A. Shariff
Kerajaan negeri Pulau Pinang telah menerima sijil bagi mengesahkan pengiktirafan Bukit Bendera sebagai tapak rizab biosfera daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Kawasan seluas 12,481 hektar yang kini merupakan tapak rizab biosfera ketiga Malaysia itu telah diperakui oleh UNESCO pada September 2021.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang mengumumkan penerimaan sijil itu pada Sabtu (11 Jun), berkata kerajaan negeri akan menjadikan Bukit Bendera dan sekitarnya sebagai antara destinasi eko-pelancongan pilihan bagi pengunjung.
Beliau bertekad mewujudkan “tapak pembelajaran bertaraf dunia untuk meneroka dan menggambarkan kaedah pemuliharaan dan pembangunan mampan”.
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli berkata Bukit Bendera adalah salah satu daripada 727 tapak rizab biosfera dalam rangkaian rizab biosfera dunia.
Tasik Chini, Pahang, ialah rizab biosfera pertama Malaysia menerima pengiktirafan UNESCO pada 2009, diikuti oleh Banjaran Crocker di Sabah pada 2014.
Rizab biosfera diwujud bagi menggalakkan pembangunan mampan yang melibatkan penduduk tempatan dan penyelidikan saintifik, dan termasuk pencegahan konflik dan pengurusan biodiversiti.
-BTS Media