BTS Media

‘DBKL guna maklumat lapuk lulus projek Bukit Dinding’

SELEPAS berbulan-bulan memperoleh sokongan dan mengumpul dana, penduduk berhampiran Bukit Dinding di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, telah memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap kelulusan projek pembangunan di bukit itu.

Pengerusi Pasukan Petugas Gabungan Persatuan Penduduk Seksyen 5 Shahurain Zainuddin berkata mereka percaya proses kelulusan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah cacat.

Pengerusi Pasukan Petugas Gabungan Persatuan Penduduk Seksyen 5 Shahurain Zainuddin / Gambar: The Star.

 

“Hasil penilaian kesan alam sekitar asal, yang dilakukan pada 2015, adalah bertujuan untuk bangunan 16 tingkat.

“Ini bermakna arahan pembangunan daripada DBKL dikeluarkan berdasarkan maklumat lapuk yang tidak menggambarkan projek semasa,” katanya kepada The Star.

Tahun lalu, DBKL dilapor mengeluarkan arahan pembangunan untuk projek membina dua kondominium 26 tingkat di tapak tersebut.

Presiden ‘Friends of Bukit Dinding’ Jonson Chong berkata kumpulan itu telah membantu mengumpul dana untuk menampung kos guaman berhubung perkara itu.

“Kami bekerjasama dengan pasukan petugas untuk mengumpul RM100,000 dan berjaya mendapat kira-kira RM25,000 sejak Disember.

“Penduduk Seksyen 5 di Wangsa Maju mempunyai locus standi (untuk memfailkan permohonan) kerana mereka tinggal dalam lingkungan 200m dari tapak projek,” katanya.

Chong berkata mahkamah menetapkan 16 Mac untuk mendengar permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan pada Disember.

Terletak di sempadan antara Wangsa Maju dan Setiawangsa, Bukit Dinding merupakan kawasan hijau yang menjadi tempat rekreasi popular dalam kalangan penduduk tempatan.

Bagaimanapun, pada September tahun lalu, tersebar berita bahawa pembangunan telah dirancang di situ, justeru mencetuskan bantahan penduduk sekitar.

Pada 26 September, Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah mengumumkan bahawa dua peratus daripada kawasan itu wajib dikekalkan sebagai kawasan hijau.

Beliau menegaskan bahawa tiada kerja pembangunan dibenarkan sehingga sesi perbincangan bersama penduduk dimuktamadkan, walaupun tiada tarikh akhir dinyatakan.

Penduduk juga telah membuat laporan polis pada 18 Okt lepas berhubung projek itu.

Dalam beberapa laporan media, penduduk tempatan menekankan kebimbangan mereka tentang potensi tanah runtuh di tapak situ, yang boleh mengancam kediaman mereka.

Dalam laporan The Star pada 5 Nov, pemaju Nova Pesona Sdn Bhd berkata petak tanah itu telah ditetapkan untuk kegunaan kediaman sejak 1983.

Syarikat itu berkata pembangunan berkenaan juga diwartakan di bawah Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 ketika itu.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, sebelum ini telah menandatangani akuan komitmen terhadap sebarang pembangunan masa depan Bukit Dinding semasa satu mesyuarat pada 17 Nov tahun lepas anjuran Friends of Bukit Dinding.

-BTS Media

Leave a Comment