PENGANJUR Singapore Airshow 2024, Experia, berkata syarikat pertahanan Israel yang dijemput tidak terikat kepada sebarang sekatan antarabangsa, senarai hitam atau sekatan perdagangan.
Sebagai respons kepada pertanyaan oleh akhbar TODAY semalam, pengarah eksekutifnya Leck Chet Lam mendakwa bahawa amalan syarikat itu “konsisten dengan standard antarabangsa”.
Leck menambah, “Syarikat-syarikat yang terlibat tidak pernah dikenakan sekatan antarabangsa dan terus mengambil bahagian dalam acara pertahanan antarabangsa di negara lain selepas konflik (Israel-Hamas) bermula.”
Semasa Singapore Airshow bulan lalu, Kementerian Pertahanan Israel dan 11 kontraktor pertahanannya turut hadir, termasuk Israel Aerospace Industries, Rafael Advanced Defence Systems dan Elbit Systems.
Lebih daripada 1,000 syarikat yang mengambil bahagian dari 50 negara, termasuk negara-negara dari Timur Tengah, dipamerkan di Singapore Airshow tahun ini, kata Leck.
Acara ini yang biasanya diadakan sekali setiap dua tahun, dianggap sebagai pameran penerbangan dan pertahanan antarabangsa paling berpengaruh di Asia di mana pihak-pihak berkepentingan dalam industri penerbangan global berkumpul dan menjalinkan hubungan.
TODAY menghubungi Experia selepas Ahli Parlimen Nadia Ahmad Samdin mengemukakan soalan parlimen bulan lalu kepada Menteri Perdagangan dan Industri Gan Kim Yong. Beliau bertanya tentang pertimbangan untuk membenarkan syarikat pertahanan Israel mempamerkan senjata dan peralatan di Singapore Airshow.
Ahli Parlimen bagi GRC Ang Mo Kio menambah bahawa beberapa senjata keluaran syarikat itu dilapor digunakan oleh tentera Israel dalam peperangan Israel-Hamas.
Pada tahun 2013, sebuah dokumentari yang dipanggil The Lab mendakwa bahawa senjata dan peluru Israel telah diuji ke atas penduduk Palestin, termasuk Gaza.
Baru-baru ini, beberapa media antarabangsa lain seperti Middle East Monitor, mempersoalkan sama ada senjata yang diuji itu dipamerkan semasa Singapore Airshow 2024.
Minggu lalu, Menteri Hal Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan berkata adalah penting menjaga hubungan baik Singapura dengan Israel dan pihak Berkuasa Palestin.
-BTS Media