BTS Media

Peneroka FELDA serbu KPF tuntut penjelasan lewat bayar jualan saham

GAMBAR: Malaysiakini.

 

SEKUMPULAN anggota Koperasi Permodalan Felda (KPF) menyerbu pejabatnya di Kuala Lumpur bagi menuntut penjelasan mengenai kelewatan pembayaran dividen dan penebusan jualan saham.

Wakil kumpulan tersebut, Mohammad Rosli Yaakob berkata kelewatan pembayaran tersebut berlaku sejak tahun lalu.

Pada awalnya, pihaknya merancang untuk mengadakan sidang media tetapi mereka kemudian dijemput ke satu perjumpaan bersama pengurusan tertinggi KPF.

Menurut Rosli, pada perjumpaan terbabit, KPF berjanji akan menyelesaikan pembayaran tunggakan dividen dan tuntutan penebusan penjualan saham selewat-lewatnya awal Mac ini.

“Sepatutnya kita mula dengan sidang media, tapi kemudian saya bersama kira-kira 18 orang ahli dijemput untuk berjumpa dengan pengurusan KPF.

“Pihak KPF memberi jaminan daripada pembayaran dividen KPF dan bonus bagi tahun 2023 akan dibayar.

“Bagi penebusan penjualan saham pula akan dibayar seawal bulan Mac ini secara berperingkat,” katanya pada sidang media di luar pejabat Felda, hari ini.

Katanya, mereka diberi penjelasan bahawa kelewatan itu berpunca daripada masalah aliran tunai yang dihadapi KPF.

Bagaimanapun, dia berharap agar jaminan itu dipenuhi kerana banyak aduan serta masalah yang timbul berpunca daripada kelewatan pembayaran tersebut.

Berlaku sedikit kekecohan apabila kumpulan itu tidak dibenarkan membuat sidang media dalam premis KPF. Mereka kemudian akur dan menyambung sidang media di luar premis tersebut.

Malaysiakini cuba mendapatkan pengesahan lanjut mengenai perkara tersebut daripada pihak KPF, tetapi pihaknya enggan memberikan sebarang maklum balas.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/696365

Leave a Comment