BTS Media

Muhyiddin saman Anwar berkait hutang peneroka Felda

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin memfailkan saman fitnah terhadap Anwar Ibrahim berhubung dakwaan perdana menteri bahawa kerajaan terdahulu pimpinannya tidak menghapuskan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion seperti dijanjikan.

Dalam pernyataan tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi semalam, Muhyiddin mendakwa kenyataan Anwar membayangkan beliau “berbohong” mengenai penghapusan hutang peneroka Felda.

Muhyiddin juga berkat Anwar tidak menunjukkan “sebarang penyesalan dan terus berusaha untuk mendapatkan sokongan bagi tuduhan palsu dan jahat itu dengan mengulangi kenyataan-kenyataan tersebut”.

“Anwar tahu bahawa penerbitan kenyataan-kenyataan tersebut akan melemahkan dan menjejaskan reputasi (Bersatu) demi keuntungannya menjelang PRN pada 12 Ogos,” kata Muhyiddin, yang juga pengerusi Bersatu, dalam pernyataan tuntutannya.

Beliau menuntut RM400 juta secara keseluruhannya untuk ganti rugi teladan dan teruk, serta jumlah tidak ditentukan untuk ganti rugi am.

Muhyiddin juga mahu Anwar mengeluarkan kenyataan-kenyataan tersebut daripada laman media sosialnya.

Sebelum ini, peguam Muhyiddin mengeluarkan surat tuntutan kepada Anwar, mendesak perdana menteri untuk menarik balik kenyataannya.

Bagaimanapun, Anwar membalas dengan menuduh Muhyiddin “memutar-belit” kenyataannya dan menuntut agar Muhyiddin memohon maaf kerana mengambil kenyataan itu secara luar konteks.

Peguam Anwar juga memberitahu Muhyiddin untuk menarik balik surat tuntutannya, kalau tidak mereka mengancam akan memulakan tindakan undang-undang.

Sebelum ini, Anwar mendakwa bahawa kerajaan PN gagal menyediakan sebarang peruntukan dalam belanjawan 2021 dan 2022 untuk menyelesaikan isu hutang Felda.

Beliau berkata hanya dalam belanjawan Madani tahun ini, RM990 juta diperuntukkan sebagai bayaran awal untuk menyelesaikan hutang tersebut.

Leave a Comment