Oleh Fetty Rara
BEKAS pembantu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata “bukti” yang dikeluarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bukanlah perjanjian pelepasan hutang untuk peneroka FELDA.
Bekas setiausaha sulit Muhyiddin Datuk Dr Marzuki Mohamad, berkata dokumen itu adalah perjanjian mengenai sukuk disokong kerajaan yang diterbitkan secara berperingkat.
“Baru sekejap tadi Perdana Menteri menyiarkan sebahagian dokumen yang dikatakan perjanjian pelupusan RM8.3 bilion hutang peneroka FELDA.
“Sekali pandang saya sudah tahu. Dokumen tersebut bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka FELDA, tetapi perjanjian mengenai sukuk berjaminan kerajaan yang diterbitkan secara berperingkat.
“Kabinet pada 14 Oktober 2020 (ketika Tan Sri Muhyiddin Perdana Menteri) telah meluluskan Pelan Pemulihan FELDA yang di dalamnya termasuklah pelupusan 80% hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion, penerbitan sukuk RM9.9 bilion secara berperingkat untuk tujuan pengambilalihan FGV dan penyelesaian hutang FELDA dengan Maybank dan KWSP dan penyediaan geran tahunan RM990 juta kepada FELDA oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu post Facebook.
Awal hari ini, Anwar mengeluarkan dokumen untuk membuktikan bahawa Muhyiddin adalah orang yang telah menandatangani skim pengecualian hutang untuk peneroka FELDA.
Anwar, yang juga menteri kewangan, turut menuntut Perikatan Nasional memohon maaf atas kenyataan itu.
-BTS Media