BTS Media

Pelupusan hutang peneroka FELDA sudah dilakukan pada 2021 – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan pelupusan hutang peneroka FELDA dilakukan pada 2021, sekali gus mendakwa tuduhan bahawa beliau tidak melaksanakan perkara itu ketika pentadbirannya adalah tidak benar.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau mengotakan janjinya dan pelupusan hutang peneroka FELDA itu disahkan sendiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Februari lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, disebabkan kekangan aliran tunai FELDA, kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang peneroka secara berterusan.

“Susulan itu, bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Idris Jusoh juga sudah membuat kenyataan pada 24 Februari lalu bahawa pelupusan hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion sudah selesai dilaksanakan pada 2021,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, di sini, hari ini.

[VIDEO] ‘Tak terfikir hutang boleh selesai, terima kasih Tan Sri’, kata peneroka Felda

Dalam laporan BH semalam, kerajaan akan menyalurkan sehingga RM1 bilion setahun untuk tempoh 10 tahun kepada FELDA melalui terbitan sukuk bagi memastikan kelangsungan agensi rancangan tanah berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata pada sambutan Hari Peneroka FELDA pada 7 Julai 2020, Muhyiddin yang juga Perdana Menteri ketika itu mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu FELDA diketuai Tan Sri Wahid Omar.

Katanya, laporan pasukan itu dibentangkan kepada Jemaah Menteri pimpinan Muhyiddin pada 14 Oktober 2020 yang menyentuh perancangan pemulihan FELDA termasuk pembelian saham FGV dan pengukuhan kewangan FELDA serta penghapusan hutang peneroka.

“Cadangan peruntukan RM9.9 bilion melalui penerbitan sukuk untuk pemulihan FELDA diluluskan oleh Jemaah Menteri.

“Penerbitan sukuk dibuat secara berperingkat antara 2021 hingga 2026. Rentetan itu, urusan berkaitan pemulihan dan penghapusan hutang peneroka sudah dimulakan.

“Pada Hari Peneroka FELDA 7 Julai 2021, Muhyiddin mengumumkan secara rasminya bahawa sejumlah RM8.3 bilion hutang peneroka akan dihapuskan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Mohd Radzi berkata, pelupusan hutang ini dilakukan menerusi Projek Wajar dan ia diketahui golongan peneroka di seluruh negara.

“Jumlah bayaran balik yang perlu dibuat mereka adalah jauh lebih rendah selepas penghapusan hutang berbanding sebelumnya.

“Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyemak fakta berhubung isu pelupusan hutang FELDA ini kerana perkara ini bukan berstatus ‘Sulit’ atau ‘Rahsia’ lagi, malah beberapa kali dijawab di Parlimen dan berita berkenaannya juga disiarkan kepada umum,” katanya.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1123918/pelupusan-hutang-peneroka-felda-sudah-dilakukan-pada-2021-muhyiddin

Leave a Comment