BTS Media

Seperti mana pentadbiran Muhyiddin lupus pinjaman peneroka RM8.3bil, PN akan terus bela nasib peneroka

PERIKATAN Nasional (PN) berjanji akan terus membela nasib peneroka Felda di seluruh negara jika gabungan itu menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas Parlimen ke-14 dibubarkan hari ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semasa beliau memimpin negara sebelum ini, kerajaan telah melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Selain itu katanya, turut diluluskan terbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion oleh Felda dengan jaminan kerajaan bagi membolehkan agensi tersebut melaksanakan pelan pemulihan.

“Jaminan PN kalau kita menang PRU15 ini, kita akan buat lebih banyak lagi daripada apa yang telah kita buat sebelum ini. Apa yang penting nasib peneroka Felda terus terbela.

“Jangan tanya saya sekarang apa yang kita (PN) hendak buat (untuk peneroka Felda), kita tahu apa kita hendak lakukan demi membela peneroka Felda,” katanya pada sidang akhbar semasa majlis pelancaran PN Pahang di Temerloh hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen Ke-14, berkuat kuasa hari ini.

Ia selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, apabila Yang di-Pertuan Agong bertindak menurut budi bicara baginda untuk memperkenankan permintaan itu.

Leave a Comment