BTS Media

Nahas pesawat ringan Kapar: Post-mortem dijangka siap hari ini

GAMBAR: Bernama

 

Oleh Yusoff A. Shariff

PEMERIKSAAN post-mortem dua mangsa pesawat ringan BK 160 Gabriel yang terhempas berhampiran Kampung Tok Muda, Kapar, semalam dijangka siap hari ini.

Ketua polis daerah Klang Utara, Timbalan Komisioner S. Vijaya Rao berkata siasatan dilakukan selepas sampel DNA mangsa diperoleh daripada waris mereka, lapor NST.

“Post-mortem ke atas mayat sedang berlangsung, kami juga telah mengambil cap jari (waris) sebelum ini.

“Semua pengesahan akan diumumkan kemudian apabila kami memperoleh pengesahan 100 peratus (tentang identifikasi mayat).

“Kami juga berharap pemeriksaan (post-mortem) akan selesai petang ini dan akan cuba yang terbaik (untuk mempercepatkan proses),” katanya, sambil menambah bahawa beliau juga telah membincangkan perkara ini dengan Jabatan Patologi untuk mempercepatkan proses tersebut.

Beliau berkata demikian kepada media di jabatan perubatan forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), hari ini.

Sebelum ini, waris mangsa tiba di hospital untuk proses pengenalan mayat, termasuk pengambilan sampel DNA dan cap jari.

Polis semalam mengesahkan kematian dua orang di dalam pesawat ringan yang terhempas berdekatan Kampung Tok Muda, Kapar.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan awal mendapati kedua-duanya adalah warga Malaysia.

Beliau berkata proses mencari mayat sedang berjalan kerana pesawat seberat 1,300kg itu tertimbus sedalam 2 meter.

Berdasarkan manifes penerbangan, mangsa dikenal pasti sebagai Daniel Yee Hsiang Khoon, 30 dan Roshaan Singh Rania, 42.

-BTS Media

Leave a Comment