BTS Media

Beberapa ketua bahagian mahu UMNO keluar daripada kerajaan perpaduan

MESYUARAT tertutup khas pada hari Ahad antara Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin bahagian menyaksikan gesaan agar parti itu keluar daripada kepada kerajaan perpaduan, kata seorang pemimpin.

Sumber yang enggan namanya disiarkan itu berkata, beberapa orang pemimpin bahagian menyokong gesaan itu selepas bekas perdana menteri Najib Razak gagal mendapat pengampunan penuh atas sabitan beliau dalam kes SRC Internasional.

Bagaimanapun, pemimpin itu berkata tindakan tersebut menimbulkan risiko untuk UMNO.

Menurutnya, UMNO sekarang tidak stabil, dan akan kehilangan kekuatan dan kupayaan tawar-menawar jika menarik diri daripada kerajaan.

Beliau berkata beberapa kelompok ketua bahagian juga secara peribadi telah menghubungi Zahid tentang perkara itu.

Menurutnya, mereka tidak berpuas hati dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana gagal mendapatkan pengampunan penuh untuk Najib.

Tindakan menarik diri daripada kerajaan bukanlah kali pertama bagi UMNO, kerana parti itu pernah berbuat demikian pada Julai 2021 ketika Muhyiddin Yassin berkuasa.

Seorang lagi ketua bahagian, yang juga enggan namanya disiarkan, berkata kini terdapat ketegangan dalam parti, terutama dalam puak kem Najib.

“Mereka mengharapkan Najib mendapat pengampunan penuh, tetapi ia tidak berlaku. Kebanyakan mereka pada mulanya bersetuju untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan dengan harapan Najib diampunkan, seperti mana Anwar diampunkan,” katanya.

Pada hari Ahad, portal berita FMT melaporkan bahawa 191 orang pemimpin bahagian telah diminta mengumpul sejuta tandatangan untuk petisyen memohon pengampunan penuh diraja untuk Najib.

Ini berikutan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan separuh hukuman Najib dalam kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam, dan mengurangkan denda RM210 juta kepada RM50 juta.

UMNO dikatakan bersedih, namun didakwa tetap menghormati keputusan itu. Parti itu juga berkata ia akan terus berusaha mendapatkan keadilan untuk Najib mengikut undang-undang.

-BTS Media

Leave a Comment