BTS Media

UMNO Selangor serah balik jawatan majlis tempatan kepada PH

Oleh Yusoff A. Shariff

UMNO Selangor memutuskan untuk menyerahkan balik 20 jawatan PBT kepada Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi UMNO Selangor Megat Zulkarnain Omardin berkata keputusan mengembalikan jawatan kepada PH adalah untuk menyangkal dakwaan bahawa parti itu “tamak” dan “meminta-minta”.

Bagaimanapun, Megat berkata UMNO mahu diberikan semua 373 jawatan pengerusi jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Kita mahu PH jaga kawasan bandar, manakala UMNO boleh selia kampung.

“Kami akan memaklumkan kepada presiden parti Ahmad Zahid Hamidi mengenai keputusan itu esok (hari ini),” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam.

Baru-baru ini sebuah portal berita melaporkan bahawa kerajaan negeri tidak dapat memuktamadkan pelantikan ahli majlis tempatan kerana UMNO enggan menerima tawaran menteri besar Amirudin Shari mengenai perkara itu.

UMNO Selangor sebelum ini telah meminta supaya 24 jawatan majlis tempatan dikurangkan kepada 20.

Pada hari Jumaat, FMT melaporkan bahawa PH Selangor tidak berpuas hati dengan konsesi diberikan kepada UMNO, musuh lamanya yang menjadi rakan kongsi dalam kerajaan perpaduan persekutuan sekarang.

Seorang Exco Selangor yang enggan dinamakan, berkata UMNO “terlalu menuntut” walaupun hanya memenangi dua kerusi dalam pilihan raya negeri tahun lepas.

Sumber itu seterusnya berkata bahawa UMNO sebelum ini telah membuat beberapa tuntutan berhubung peranan Exco dan jawatan ketua kampung.

Kekecohan terbaharu berlaku susulan desakan UMNO yang sepatutnya menuntut 20 jawatan ahli majlis di semua majlis tempatan di Selangor.

Megat berkata keputusan menyerahkan semula jawatan PBT itu dipersetujui oleh semua 22 bahagian negeri pada mesyuarat kelmarin.

Beliau berkata UMNO Selangor masih belum memilih sesiapa untuk jawatan tersebut, namun menegaskan bahawa parti itu tidak meminta-minta apabila mendesak kuota.

Megat berkata mereka hanya berunding untuk jawatan itu. Beliau berkata, 20 daripada 288 jawatan majlis tempatan adalah hanya 7% daripada jumlah jawatan.

-BTS Media

Leave a Comment