Oleh Zainal AS Rashid
PERSATUAN Usahawan Kecil dan Sederhana (Samenta) Malaysia menggesa orang ramai supaya makan di restoran tempatan berikutan kenaikan caj oleh platform penghantaran.
Grab Malaysia semalam mengumumkan bahawa syarikat itu sedang mengkaji caj asasnya, dan menaikkan bayaran bonus untuk tempahan yang memerlukan lebih masa dan usaha untuk dilengkapkan sehingga 20-30 peratus.
Menurut Samenta penyesuaian caj oleh platform penghantaran makanan utama mungkin akan menyebabkan peniaga tempatan dan restoran F&B terpaksa membayar komisen yang lebih tinggi kepada platform penghantaran.
Pada masa ini, peniaga dikenakan komisen sehingga 32 peratus untuk setiap penghantaran.
Komisen ini mungkin mencecah sehingga 60 peratus bagi setiap jualan setelah diambil kira kos pemasaran dan promosi.
Harga makanan dan barangan dinaikkan sebanyak 30 hingga 100 peratus untuk menampung komisen dan mengekalkan keuntungan.
“Orang ramai digesa makan di restoran supaya dapat memecahkan kitaran melampau ini dan menyokong perniagaan tempatan,” kata Samenta.
-BTS Media