BTS Media

Dr Mahathir tempelak Anwar berhubung dakwaan ‘Langkah Dubai’

TUN DR Mahathir Mohamad hari ini menafikan beliau terbabit dalam gerakan Langkah Dubai yang didakwa dibuat bertujuan menjatuhkan kerajaan.

Bekas perdana menteri sebanyak dua kali itu menegaskan, beliau tidak berada di Dubai, ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) seperti yang heboh diperkatakan.

“Beberapa hari kebelakangan ini agak heboh mengenai Langkah Dubai dan ada yang babitkan saya dalam usaha yang dikatakan untuk tubuh kerajaan pintu belakang.

“Pertamanya, saya sudah lama tidak ke Dubai. Keduanya, sepanjang ingatan saya usaha politik langkah-melangkah, kerajaan pintu belakang atau backdoor Government adalah kepakaran Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya dalam satu catatan di laman X, hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop, mendakwa wujud gerakan dirancang bagi menjatuhkan kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang didalangi pemimpin parti pembangkang bersama wakil kerajaan.

Ismail mendakwa, rancangan yang digelar sebagai ‘Langkah Dubai’ timbul sewaktu percutian pemimpin PN termasuk dari wakil kerajaan di ibu kota UAE, baru-baru ini.

Beliau mendakwa, pertemuan itu berlangsung untuk berunding selain menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi, turut mengingatkan semua pihak mengenai gerakan sama pada 16 September 2008 serta Langkah Kajang pada sekitar 2013-2014, sesuatu yang sering dikaitkan Anwar ketika mengetuai pembangkang sebelum ini.

“Ada juga langkah yang bersandar kepada ‘I have the numbers’ (saya ada sejumlah sokongan Ahli Parlimen) dan juga langkah ‘strong, formidable and majority’ (majoriti yang kuat, berkemampuan dan meyakinkan).

“Semuanya adalah langkah-langkah untuk mengambil-alih kerajaan secara pintu belakang dan ketika ia sedang diusahakan, ia tidaklah dianggap derhaka, satu pengkhianatan atau akan menyebabkan kerajaan tidak stabil, merosak ekonomi atau melanggar prinsip demokrasi.

“Kerajaan pintu belakangnya halal dan suci asalkan dapat jadi Perdana Menteri,” katanya.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/01/1196371/dr-mahathir-sindir-anwar-langkah-dubai

Leave a Comment