KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris mempersoalkan tindakan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang cuba mengaitkan Perikatan Nasional (PN) terlibat dengan gerakan terancang ‘Langkah Dubai’ untuk menjatuhkan kerajaan.
Razali mendakwa usaha mengaitkan PN dalam agenda tersebut bertujuan untuk mengalihkan isu tertentu.
Razali turut mendakwa J-KOM yang kini di bawah Kementerian Komunikasi sudah berperanan sebagai jabatan propaganda dan menghasut.
“Saya tanya sahaja kerana jika benar, ini sudah terkait dengan isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja).
“Sebuah agensi kerajaan J-KOM yang mencetuskan keresahan rakyat serta menimbulkan ketakutan kepada pelabur.
“Kalau beginilah caranya Kerajaan Madani, nampak gaya cepatlah proses kerajaan yang baharu muncul,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Razali menegaskan bahawa pembangkang bekerja bersama rakyat bagi memulihkan kelangsungan kehidupan mereka.
“Rakyat tidak ada masa untuk memikirkan sebarang langkah bermotifkan politik, tiada masa dan buang masa.
“Sebab itu rakyat di bawah kerajaan ‘State-Goverment 4’ (SG4) telah melangkah ke depan atau ‘move on’. Begitu juga rakyat di negeri lain pun sama (move on) untuk naik taraf kehidupan mereka,” jelasnya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) J-KOM, Datuk Ismail Yusop ‘mendedahkan’ wujud cubaan menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Rancangan itu didakwa timbul sewaktu percutian pemimpin PN termasuk daripada pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
Pertemuan itu didakwa bertujuan memberikan tugas khusus kepada ‘pegawai’ yang bertanggungjawab bagi mengenal pasti ahli-ahli Parlimen yang berpotensi mengalih sokongan mereka kepada pembangkang.
Selain pemimpin pembangkang, ia dipercayai turut disertai tokoh politik veteran berpengaruh, selain dikatakan menggunakan sumber asing untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Anwar.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin PN menafikan bahawa wujudnya rancangan seumpama itu.