BTS Media

Tun Mahathir saman Anwar RM150 juta

DR MAHATHIR Mohamad memfailkan saman berjumlah RM150 juta terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung dakwaan bahawa dia mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.

Peguam Mahathir memfailkan writ saman itu di Mahkamah Tinggi di Shah Alam dua hari lalu.

Pada 17 April lalu Mahathir dilaporkan akan meneruskan tindakan undang-undang selepas Anwar tidak mematuhi surat tuntutan agar membuat permohonan maaf terhadapnya berhubung dakwaan yang dibuat semasa ucapan dasar di Kongres Nasional Khas PKR 2023, pada 18 Mac lepas.

Dr Mahathir mendakwa, kenyataan Anwar dalam ucapannya itu membawa maksud dia membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.

Menurut salinan pernyataan tuntutan, Mahathir mendakwa Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan dan presiden PKR, membuat kenyataan tidak benar dan tidak berasas dengan niat untuk menimbulkan persepsi negatif terhadapnya.

Plaintif mendakwa dakwaan itu telah “mencemarkan imej plaintif sebagai negarawan yang merupakan bekas perdana menteri (dua kali), reputasi sebagai ahli politik dan pemimpin yang dihormati di Malaysia dan seluruh dunia”.

Mahathir mendakwa dakwaan itu bukan sahaja merosakkan imej dan reputasinya tetapi turut memalukan dirinya serta ahli keluarganya.

Ahli politik veteran itu mendakwa bahawa dakwaan itu telah menjejaskan sokongan dan kepercayaan kepadanya dalam bidang politik, perniagaan dan/atau peluang pendapatan.

Plaintif mendakwa kesemua anaknya adalah individu yang berjaya dalam dunia perniagaan tanpa campur tangan beliau atau sebarang salah guna kuasa oleh beliau sebagai perdana menteri ketika itu.

Jadikan pengajaran

Mahathir menegaskan saman fitnah itu harus dijadikan pengajaran kepada mana-mana pemimpin agar tidak sekali-kali mengeluarkan kenyataan berniat jahat untuk memburuk-burukkan mana-mana individu.

“Tambahan, mengambil faktor posisi Defendan sebagai Perdana Menteri, yang mempunyai kuasa dan/atau tenaga kerja untuk menyelidik dan/atau memastikan sebarang fakta sebelum ianya dituturkan, Plaintif sepatutnya berkelayakan untuk menuntut sejumlah wang ganti rugi tauladan yang tinggi sebagai pengajaran kepada mana-mana menteri dan/atau pemimpin untuk tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan tanpa usul periksa dan untuk tujuan mengumpul ‘political points’ sahaja,” katanya.

Dalam saman itu Mahathir menuntut ganti rugi am sebanyak RM50 juta dan ganti rugi teladan RM100 juta.

Mahathir memohon perintah mahkamah supaya Anwar mengeluarkan permohonan maaf bertulis dan menarik balik dakwaan itu dengan serta-merta.

Plaintif juga menuntut ganti rugi pada kadar 5 peratus setahun dari tarikh writ saman difailkan sehingga penyelesaian penuh, kos, dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Saman fitnah itu ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada 31 Mei.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/664084

Leave a Comment