BTS Media

Pemimpin Bersatu kata tarik sokongan ‘bukannya khianat’

Oleh Yusoff A. Shariff

MELABELKAN sebagai pengkhianatan dan ancaman kepada demokrasi yang menjurus kepada pemerintahan diktator apabila seseorang ahli parlimen menarik balik sokongan kepada kerajaan adalah tidak benar.

Timbalan Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu Sasha Lyna Abdul Latiff berkata ia menunjukkan bahawa demokrasi berfungsi dan dibenarkan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri sebagai ketua pembangkang sebelum ini telah melakukan pelbagai percubaan untuk menjatuhkan kerajaan.

Ini responsnya susulan kenyataan Timbalan Pengarah (Komunikasi Masyarakat) J-Kom Ismail Yusop semalam kononnya beberapa pemimpin pembangkang berada di Dubai untuk merancang strategi pertukaran kerajaan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata ia juga menunjukkan sejauh mana Anwar dan Pakatan Harapan telah membelakangkan demokrasi.

Beliau mendakwa sebagai ironis memandangkan pentadbiran Anwar sendiri telah menarik beberapa ahli parlimen pembangkang dari Perikatan Nasional supaya menyokong kerajaan perpaduan.

Sasha Lyna merujuk kepada tahun-tahun sebelum ini apabila Anwar semasa menjadi ketua pembangkang, pernah membuat pelbagai percubaan ‘pintu belakang’ untuk menjatuhkan kerajaan.

“Bagaimana ini dilakukan? Dengan mengadakan perbincangan dan rundingan bersama ahli parlimen (kerajaan). Adakah Anwar melakukan pengkhianatan ketika itu?” katanya.

Beliau menyifatkan bahawa sebenarnya kenyataan Ismail (J-Kom) memberi amaran dan ugutan dalam media kepada ahli parlimen mengenai siapa yang mereka sokong sebagai perdana menteri di Dewan Rakyat adalah ancaman kepada demokrasi berparlimen.

Sasha Lyna mendakwa ia menunjukkan bahawa Anwar bersedia untuk mengarahkan Kementerian Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan pihak berkuasa keselamatan negara (yang lain) untuk bertindak keras terhadap pemimpin pembangkang.

Beliau menyifatkan pernyataan “tidak sopan” dari J-Kom itu sebagai “jahil” dan bertujuan untuk memburukkan imej pembangkang di mata rakyat.

-BTS Media

Leave a Comment