Oleh Yusoff A. Shariff
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih belum membuat keputusan mengenai konsep “khemah besar” yang dicadangkan oleh pembangkang bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata timbalan presidennya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau berkata Bersatu, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan sekarang, hanya akan memutuskan perkara itu selepas dibincangkan oleh majlis tertingginya.
Ahmad Faizal memberitahu media pada Ahad bahawa parti lain dalam Perikatan Nasional komited untuk bersama Bersatu, terutama di Semenanjung.
Menurut beliau tumpuan Bersatu sekarang ialah untuk mengukuhkan hubungan dengan PAS kerana dengan cara itu perjuangan agama, bangsa dan negara serta menentang salah guna kuasa akan dapat diteruskan.
Sebelum ini, timbalan presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang merupakan komponen Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pemimpin Pembangkang harus cukup bermurah hati untuk melupakan insiden lalu bagi membentuk “khemah besar” untuk melawan Barisan Nasional pada PRU15.
Bagaimana pun, presiden parti Mohamad Sabu, sebelum ini berkata PH tidak akan bekerjasama dengan pihak yang menurut beliau telah “mengkhianati amanah dan mandat rakyat.”
-BTS Media