BTS Media

Ahmad Faizal optimis emas ‘bonus’ mampu dituai lagi

GAMBAR ATAS: Ahmad Faizal (tengah) berbincang mengenai perkembangan atlet di Sukan SEA Vietnam bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kiri) pada Sabtu.

 

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin beberapa pingat emas ‘bonus’ mampu dituai sebelum temasya Sukan SEA Veitnam 2021 melabuhkan tirai secara rasmi pada Ahad meskipun Kontinjen Malaysia sudah melengkapkan sasaran 36 emas (Sabtu) pada temasya dwitahunan tersebut.

Ahmad Faizal, yang juga Timbalan Presiden BERSATU, menyeru rakyat Malaysia terus memberi sokongan padu kepada atlet negara yang sedang berjuang terutama dua atlet muay thai negara yang telah mengesahkan tiket ke final.

Dua atlet muda negara iaitu Nur Amisha Azrilrizal dan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib mengesahkan slot ke pertarungan final untuk memburu emas buat kontinjen Malaysia hari ini.

“Kita sama-sama doakan agar atlet negara yang mara ke final pada pertembungan terakhir esok (hari ini). Pada hari pertama dulu kita susah hati tetapi kini kita dah berjaya capai 36 pingat emas.

“Kita menantikan lebih banyak pingat mampu dikutip negara. Saya meletakkan sepenuh keyakinan kepada semua atlet negara untuk mengatasi sasaran yang telah kita tetapkan. Doakan semua atlet dapat capai emas seterusnya.

“Mengenai dua atlet muay thai, saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka berdua. Meskipun mereka turun sebagai pasukan ‘underdog’ saya yakin mereka akan berjuang habis-habisan untuk pastikan kemenangan menjadi milik negara.

“Saya harap rakyat Malaysia terus mendoakan kejayaan atlet negara di bumi Hanoi ini dan seterusnya kita dapat capai emas seterusnya,” katanya semalam.

Kelmarin, skuad karate melengkapkan sasaran 36 emas Kontinjen Malaysia dalam acara kumite berpasukan lelaki menerusi gandingan yang dibarisi S. Prem Kumar, Sureeya Sankar Hari Sankar dan R. Sharmendran menewaskan Indonesia 3-0 pada final.

Leave a Comment