Oleh Ahmad Abd Hamid
Setelah dua tahun bertarung dengan kanser prostat tahap empat, legenda bola sepak negara, Syed Ahmad Syed Abu Bakar, 76, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis pada Rabu 1 Jun 2022.
Allahyarham meninggalkan balu, Samihah Razali dan lima orang anak, Syed Ahmad Shahazuddin, Syed Zaimuddin, Wan Noor Atikah, Syed Abu Bakar serta Syed Zamilluddin.
Pemergian beliau ibarat padamnya sebutir bintang sukan, khususnya bola sepak, setelah pemergian beberapa bintang legenda seperti Mokhtar Dahari, M. Chandran, Isa Bakar, Ali Bakar, R. Arumugam, Mohd Shah Norbit dan lain-lain.
Mungkin generasi kini kurang mengenali nama Syed Ahmad. Namun bagi peminat setia bola sepak tanah air akan sentiasa mengingati Allahyarham sebagai bintang bersinar di zaman kegemilangannya.
Allahyarham merupakan watak utama yang memainkan peranan penting membantu Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Munich pada 1972 melalui jaringan cantik menewaskan Korea Selatan.
Walau pun anak Johor dan dilahirkan di Pontian pada April 1946, Syed Ahmad mencipta nama di luar negeri itu. Penglibatannya di Johor ialah bermain dalam pertandingan Combined Schools di peringkat sekolah rendah dan Piala Burnley pada 1961.
Namun, asas yang diperoleh di Johor inilah yang seterusnya membawa Allahyarham cemerlang dalam bola sepak. Bekas kaki tangan penjara itu menyarung jersi kebangsaan dari 1966 hingga 1974.
Selain itu, beliau mencurah bakti bermain untuk Pasukan Penjara. Allahyarham juga bermain untuk tiga pasukan utara tanah air, iaitu Pulau Pinang (1965-1972), Perak (1972-1980) dan Kedah (1980-1981). Ternyata paling lama beliau bersama Perak.
Jasa Syed Ahmad yang paling dikenang ialah membawa pasukan bola sepak negara ke sukan Olimpik Munich 1972 setelah berjaya menempuhi pra kelayakan Olimpik pada 1971.
Jaringannya pada minit ke-54 melalui tandukan ketika menentang Korea Selatan menceriakan kem Malaysia. Tandukan ini hasil hantaran tepat Looi Loon Teik membolehkan negara menewaskan Korea Selatan di Seoul. Memang menarik, Malaysia tewaskan Korea Selatan di bumi sendiri.
Dua hari sebelum menentang Korea, Syed Ahmad mencipta hatrik dengan menjaringkan tiga gol mengatasi pasukan Jepun yang merupakan pemenang pingat gangsa Olimpik 1968. Tentunya ini kejayaan manis kerana Malaysia berjaya menewaskan pemenang pingat Olimpik.
Dalam pusingan kelayakan pra Olimpik, Syed Ahmad menjaringkan lima gol kesemuanya. Selain menewaskan Jepun dan Korea Selatan, pasukan negara juga menewaskan Filipina dan Taiwan.
Sayangnya, walau pun menjaringkan gol penting menewaskan Korea Selatan, nama Syed Ahmad tidak tersenarai untuk bersama pasukan negara ke Sukan Olimpik di Munich.
Namun itu tidak mematahkan semangat Allahyarham. Sebaliknya, Allahyarham terus diberi kepercayaan menyarung jersi negara serta membantu pasukan Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka pada 1966, 1968 dan 1974.
Pestabola Merdeka merupakan pertandingan yang sangat berprestij ketika itu dengan disertai banyak pasukan hebat dari negara luar. Ia diadakan sempena ulang tahun kemerdekaan negara. Sayangnya Pestabola Merdeka kini sudah tiada.
Pada Sukan Asia Tehran 1974, Syed Ahmad dan kombinasi Mokhtar Dahari serta Isa Bakar, menyerlahkan taring sebagai penggempur berbisa Malaysia yang digeruni lawan.
Dalam sukan tersebut, Malaysia menjaringkan sejumlah 20 gol, seterusnya memenangi pingat gangsa, menewaskan Korea Utara dengan jaringan 2-1.
Pada Februari lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM telah menziarahi Syed Ahad di kediamannya di Perlis sebagai kunjungan hormat dan ingatan terhadap pemain legenda itu.
Syed Ahmad sudah tiada. Namun jasa baktinya kepada sukan bola sepak tetap terpahat dengan tinta emas. Semoga kejayaan Allahyarham menjadi inspirasi kepada generasi muda kini untuk menjulang nama demi bola sepak negara. Semoga roh aruah dicucuri rahmat dan diampuni dosa.
-BTS Media