Soal kedudukan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU ada 8 Jun lalu.
Timbalan presidennya, Ahmad Faizal Azumu berkata, perbincangan dalam mesyuarat tersebut adalah berhubung persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, parti itu masih kekal menyokong Ismail sebagai Perdana Menteri dan sedia membantu kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat.
“Kami tak ada bincang tentang kedudukan perdana menteri. Kami menyokong perdana menteri sedia ada dan kami mahukan satu kerajaan yang stabil yang boleh memberi fokus kepada masalah rakyat.
“Kalau ada ura-ura mengenai perbincangan lain itu, bohong. Bersatu tak bincang tentang politik, Bersatu memikirkan tentang masalah rakyat,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Terdahulu, laporan media yang memetik sumber mendakwa bahawa mesyuarat MPT BERSATU pada 8 Jun lalu antara lain membincangkan mengenai kedudukan Ismail sebagai perdana menteri sekiranya parti itu mendapat sokongan daripada Pejuang, Warisan dan Pakatan Harapan (PH) tanpa melalui pilihan raya.