BTS Media

Penghijrahan beramai-ramai PATI timbulkan kebimbangan awam, 171 ditahan

Oleh Yusoff A. Shariff

POLIS telah menahan 171 pendatang tanpa izin, yang berjalan di Kota Tinggi, Johor dalam kumpulan besar hingga menyebabkan kebimbangan orang ramai.

Rakaman video kejadian itu tular di media sosial malam tadi.

Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kejadian berlaku pada hari Rabu lalu.

Beliau berkata, susulan laporan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sepasukan polis dihantar ke lokasi berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Ya, video yang tular itu adalah dari kejadian minggu lalu. Mereka dipercayai menuju ke Balai Polis Bayu Damai untuk membuat laporan polis selepas ditipu ejen pekerjaan.

“Kejadian berlaku pada pagi Rabu lalu apabila ratusan warga Bangladesh dilihat berjalan di hadapan simpang masuk, Teluk Ramunia Bayu Damai, di sini.

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan seramai 171 lelaki warga Bangladesh berumur antara 19 hingga 43 tahun mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959.

Kesemua mereka telah dihantar ke Jabatan Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru untuk siasatan lanjut

Dalam video 1 minit 33 saat itu, seorang pemandu terkejut apabila melihat begitu ramai warga asing sedang berjalan di lokasi tersebut.

-BTS Media

Leave a Comment