BTS Media

Kerajaan Kedah umum bayaran RM2,000 untuk penjawat awam negeri

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM2,000 kepada kira-kira 5,600 penjawat awam negeri.

Menteri Besar Sanusi Nor mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2024 di Wisma Darul Aman.

“Kerajaan negeri menghargai pengorbanan dan sumbangan kakitangan awam negeri. Sejumlah RM2,000 telah dipersetujui untuk diberi sebagai bantuan khas kewangan kepada kakitangan awam negeri dan anggota pentadbiran negeri melibatkan peruntukan RM10.8 juta.

“Pembayaran bagi bantuan khas kewangan ini akan dibuat sebahagiannya pada Disember 2023 dan bakinya pada Mac 2024,” katanya.

Selain itu, katanya bantuan khas one-off (sekali bayar) juga akan diberikan kepada imam lantikan negeri, pengerusi Majlis Ketua Kampung dan setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) pada Mac 2024 sebagai bantuan hari raya.

“Kadar bantuan khas one-off ini akan ditentukan kelak,” katanya.

-Bernama

Leave a Comment