Oleh Yusoff A. Shariff
SEKITAR enam daripada 10 pengundi Kemaman yang ditinjau berkata mereka tidak bersetuju dengan petisyen yang difailkan di Mahkamah Pilihan Raya untuk membatalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) Che Alias Hamid di kerusi itu semasa pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Menurut tinjauan oleh Institut Strategik dan Integriti Terengganu (TSIS) lebih separuh daripada responden berpendapat bahawa keputusan Mahkamah Pilihan Raya adalah “tidak konsisten” dan “bermotifkan politik”.
“Kami menjalankan tinjauan selama 12 hari bermula pada 29 Oktober hingga 9 November dan mendapati 61 peratus responden tidak bersetuju dengan tindakan pempetisyen.
“Sementara itu, 53 peratus responden merasakan keputusan mahkamah tidak konsisten, manakala 52 peratus lagi berkata ia bermotifkan politik,” kata TSIS dalam satu kenyataan akhbar.
Tinjauan mendapati hanya 27 peratus responden bersetuju dengan tindakan pengundi Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Hamid, yang membawa kepada pilihan raya kecil dijadualkan pada 2 Disember ini.
Tinjauan itu juga mendapati hampir enam daripada 10 responden merasai pemberian oleh kerajaan Terengganu sebelum pembubaran Parlimen, yang menjadi punca petisyen, tidak bertentangan dengan undang-undang atau ajaran Islam.
“Majoriti atau 58 peratus responden percaya bahawa pemberian bantuan tunai kepada golongan miskin tegar, ibu tunggal, orang kurang upaya, dan warga tua tidak bertentangan dengan undang-undang mahupun prinsip Islam, seperti yang didakwa oleh pempetisyen,” katanya.
Hanya satu pertiga daripada responden, atau 33 peratus, berkata mereka tidak bersetuju dengan tindakan itu.
“Oleh itu, kami memerlukan garis panduan atau peraturan jelas bagi mengawal cara menyalurkan pemberian semasa pilihan raya untuk menjaga integriti mahkamah, memastikan operasi kerajaan berjalan lancar dan mengelak orang ramai mengalami sebarang kesusahan,” kata TSIS.
TSIS juga berkata bahawa 74 peratus pengundi menyatakan hasrat untuk keluar mengundi pada 2 Disember.
Pada PRU15 19 November tahun lalu, Che Alias memenangi kerusi Kemaman dalam pertandingan empat penjuru dengan memperoleh 65,714 undi, justeru memberikannya majoriti 27,179 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN) dan Ketua Umno Terengganu Ahmad Said.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 November sebagai pengundian awal bagi PRK Kemaman. BN meletakkan bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calonnya, manakala calon PAS ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
-BTS Media