Oleh Zainal AS Rashid
PROJEK Pulau Pinang Selatan (PSI), yang mula beroperasi pada 1 Julai, dijangka mengancam kelangsungan ekonomi dan sosial nelayan.
Ketua pembangkang negeri Muhamad Fauzi Yusoff (PAS – Sungai Dua) berkata ia adalah antara banyak aduan yang diterimanya daripada nelayan, yang dijangka terjejas oleh projek itu.
Beliau berkata mereka (nelayan) juga bertanya sama ada projek kontroversi itu telah difikirkan dengan baik, lapor NST.
“Bukankah dengan pelaksanaan projek PSI ini Pulau Pinang akan kehilangan sumber makanan laut dan keselamatan makanan?
“Kesan daripada projek ini akan menyebabkan nelayan di kawasan itu terjejas – majoritinya yang terdiri daripada masyarakat Melayu hilang punca mata pencarian utama,” katanya ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada persidangan dewan undangan negeri di George Town hari ini.
Fauzi berkata, sebelum ini hasil laut yang diperoleh dari kawasan itu menguntungkan dan ditolak ke pasaran melalui ‘taukeh’ tempatan, selain memberi rezeki kepada nelayan dari utara Perak dan Kedah.
Bagaimana pun, beliau berkata kawasan perairan itulah yang akan dimusnahkan oleh pihak berkuasa negeri.
“Selain itu, kesan pembuangan sisa perlombongan pasir di Muka Head, yang akan dialihkan sejauh 12 batu nautika dari kawasan berkenaan, akan mencemar dan memusnahkan ekosistem. Ia berkemungkinan boleh sampai ke Pulau Langkawi kerana akan dihanyutkan oleh arus laut deras.
“Jadi, pembangunan ini akan mengubah demografi penduduk yang akan mengancam kelangsungan ekonomi dan sosial.
“Bukankah apa yang berlaku kepada nelayan Tanjung Tokong dan Paramount akibat penambakan dan pembangunan harus dijadikan pengajaran tentang kesan kepada masyarakat nelayan? Penambakan di situ telah menyebabkan kehilangan makanan laut sebanyak 80 peratus,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa projek penambakan PSI, yang merupakan pembangunan bandar baharu di luar pantai pulau Pulau Pinang yang merangkumi kawasan kediaman, riadah dan tapak kerja, telah bermula pada bulan Julai.
Kerajaan Pulau Pinang memutus untuk mengurangkan projek PSI berikutan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 6 Mei bahawa kerajaan pusat akan menyediakan dana tambahan untuk membantu negeri itu dalam mempercepatkan pembinaan projek transit aliran ringan (LRT) George Town-Bayan Lepas. Jajaran LRT itu kini telah diperluaskan ke Seberang Prai.
-BTS Media