GAMBAR ATAS: BIG.
Oleh Zainal AS Rashid
PULAU Pinang akan kurangkan saiz projek penambakan laut PSI yang dibantahi.
Dengan ini, kerajaan negeri tidak akan membina dua daripada tiga pulau yang dirancang di kawasan itu.
Ini bermakna pengurangan 49 peratus daripada keseluruhan projek asal
Pulau A, kini dikenali sebagai Pulau Silikon, berkeluasan kira-kira 920ha manakala pulau B dan C, masing-masing kira-kira 560ha dan 320ha.
Menurut Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang berkunjung ke Pulau Pinang baru-baru ini mengumumkan bahawa kerajaan pusat akan menambah peruntukan bagi membantu kerajaan negeri mempercepatkan cadangan projek transit aliran ringan (LRT) George Town-Bayan Lepas.
Anwar juga meminta kerajaan negeri mengurangkan saiz projek PSI.
Chow berkata, ahli-ahli Exco kerajaan negeri yang membincangkan perkara ini semalam menerima nasihat perdana menteri.
Beliau berkata, dengan ini pembinaan Pulau Silikon akan dilaksanakan dalam dua fasa, yang akan mengambil masa antara 10 dan 15 tahun untuk kerja-kerja penambakan.
“(Projek) Pulau B dan C tidak akan diteruskan,” katanya pada sidang media di George Town hari ini, lapor NST.
Pada 26 April, Chow mengumumkan bahawa Pulau Pinang akhirnya mendapat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk projek PSI bersama 71 syarat yang perlu dipenuhi.
Kelulusan adalah untuk tiga pulau iaitu A, B dan C.
Projek tebus guna tanah yang kontroversi itu telah melalui proses komprehensif berhubung laporan EIA yang diluluskan pada 25 Jun 2019.
Bagaimana pun, setelah rayuan dibuat, keputusan itu dibatalkan.
Susulan itu, beberapa laporan telah disemak dan kemukakan semula.
PSI melibatkan pembangunan tiga pulau buatan, dengan keluasan 1,800 hektar di perairan Permatang Damar Laut, berhampiran Bayan Lepas.
Projek itu mendapat bantahan daripada komuniti nelayan dan badan bukan kerajaan alam sekitar kerana didakwa akan merosakkan ekosistem marin di kawasan tersebut.
Mengulas lanjut, Chow berkata mesyuarat exco turut memutuskan bahawa Pulau Silikon akan kekal sebagai depoh LRT seluas 24 hektar.
Beliau berkata komponen Green Tech Park (GTP) dan Heart of the Island (HOTI) di Pulau Silikon akan berfungsi sebagai pemangkin ekonomi dan produk pelancongan baharu untuk Pulau Pinang.
Chow juga berkata, dengan perkembangan terkini, hanya 115 nelayan dari unit perikanan Permatang Tepi Laut, yang bertentangan dengan tapak penambakan Pulau Silikon, akan terlibat secara langsung berbanding 496 nelayan (dari empat unit nelayan) sebelum ini.
Beliau mendakwa, fasa pertama Pulau Silikon berkeluasan 520 hektar yang dijangka mengambil masa tujuh hingga 10 tahun untuk disiapkan tidak mungkin memberi kesan kepada nelayan yang turun ke laut. Fasa kedua melibatkan kawasan seluas 400 hektar.
“Secara keseluruhannya, jangka masa untuk pembangunan Pulau Silikon, termasuk bahagian atas, akan mengambil masa 20 tahun.
“Dengan perkembangan terbaru ini juga, Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) untuk nelayan terbabit akan dibincangkan secara terperinci pada mesyuarat jawatankuasa pasukan petugas nelayan, yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri I dalam masa terdekat,” tambahnya.
Sementara itu, pengurus projek SRS Consortium Szeto Wai Loong berkata mereka akan membelanjakan kira-kira RM6 bilion untuk kerja penambakan dan RM2.5 bilion lagi untuk infrastruktur biasa.
Beliau berkata, berdasarkan model untuk Pulau Silikon, mereka hanya membangunkan petak tanah untuk dilelong kepada pembida tertinggi.
Beliau menambah bahawa pembida yang berjaya kemudian akan memutuskan jenis pembangunan.
Chow berkata kerajaan negeri tidak akan terlibat dalam membangunkan mana-mana tapak penambakan itu.
“Tanggungjawab kami hanyalah untuk menebus semula (tanah) dan menyediakan infrastruktur biasa seperti jalan raya, telekomunikasi, bekalan air, promenade dan sebagainya.
“Namun begitu, kerajaan negeri tidak akan terlibat dalam membiayai kos penambakan serta infrastruktur,” tambahnya.
-BTS Media