KUALA LUMPUR: Bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar, boleh mengemukakan permohonan semakan di mahkamah menerusi peguamnya terhadap sabitan hukuman mati ke atasnya bagi kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata sekiranya sabitan hukuman mati itu berubah kepada hukuman lain seperti penjara sepanjang hayat, barulah proses ekstradisi boleh dilakukan.
Beliau menjelaskan, langkah itu boleh dipertimbang memandangkan negara baru saja mengubah hukuman mati mandatori, dengan memberi budi bicara kepada mahkamah dan hakim.
“Oleh kerana status Sirul Azhar sudah dijatuhkan hukuman, persoalan seterusnya ialah apakah beliau melalui peguam boleh memohon agar hukuman ke atasnya itu dapat dikemukakan (semakan).
“Sekarang, ada 1,267 pesalah yang dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah, dan kira-kira 900 lebih sudah kemuka semakan semula hukuman. Sebab sabitan tak berubah… daripada hukuman mati misalnya kepada hukuman penjara sepanjang hayat.
“Apakah Sirul Azhar mempunyai hak menerusi peguamnya? Dia boleh saja mengemukakan (permohonan) untuk ruang (semakan) ini. Kalau itu sudah dibuat, barulah boleh proses ekstradisi atau umpama rayuannya berakhir dengan adanya perubahan dari segi hukuman, sementara sabitan tidak berubah tapi hukuman berubah,” katanya pada sidang media bangunan di Parlimen, hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berbincang dengan pihak berkaitan, termasuk Pejabat Peguam Negara dan mahkamah, bagi memutuskan tindakan membawa pulang Sirul Azhar.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, biarpun Malaysia dan Australia mempunyai perjanjian ekstradisi, wujud kekangan tertentu untuk melaksanakan proses itu memandangkan Australia tidak mengiktiraf dan tidak mengenakan hukuman mati dalam undang-undangnya.
“Memang ada perjanjian ekstradisi antara Malaysia dengan Australia. Di Malaysia, status Sirul Azhar seperti yang kita maklum, dia sudah dijatuhi hukuman mati, manakala Australia pula sebuah negara yang tidak mengiktiraf dan tidak mengenakan hukuman mati terhadap pesalah jenayah di negara mereka.
“Justeru, antara syarat ekstradisi, dia ada banyak untuk boleh dilaksanakan di mana kesalahan terbabit mestilah ada elemen ‘dual criminality’, iaitu kesalahan mesti menjadi kesalahan jenayah bagi kedua-dua negara yang turut membawa hukuman yang sama. Jadi walaupun kita ada perjanjian ekstradisi, ia ada satu perbezaan di situ.
“Seterusnya, kita juga ada banyak perjanjian ‘Mutual Legal Agreement’ (MLA), termasuk dengan Australia (yang dipanggil) ‘Mutual Assistance in Criminal Matters Act 2002’. Namun, prinsip ‘dual criminality’ masih terpakai,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa pihaknya tidak mempunyai maklumat sama ada pihak Sirul Azhar sudah memohon kepada mahkamah untuk semakan hukuman yang dikenakan ke atasnya sebelum ini.