BTS Media

Aktivis PSM dakwa cedera dikasari semasa pengusiran petani

SEORANG aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) cedera pada bahagian mulut dan hidung didakwa dikasari pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dalam kejadian di kawasan pertanian Kanthan, Tambun, Ipoh hari ini.

Ahli Jawatankuasa PSM R Karthiges berkata, kejadian berlaku ketika pihak PTG bersama beberapa jentera berat hadir ke lokasi untuk melakukan pengusiran terhadap enam petani.

Menurutnya berlaku kekecohan petani dan aktivis cuba menghalang pihak PTG memasuki kawasan pertanian untuk meneruskan pengusiran.

Katanya, susulan itu seorang aktivis PSM, Chong Yee Shan ditolak sehingga terjatuh ke tanah dan mengalami kecederaan.

“Dalam kejadian itu seorang pegawai PTG telah bertindak kasar dengan menolak Yee Shan sehingga terjatuh dan cedera pada bahagian gigi dan hidung,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Karthiges berkata, secara keseluruhan seramai 200 petani terlibat dengan sektor pertanian di Kanthan dan enam daripada mereka menerima notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara bertarikh 13 Oktober lalu mengatakan petani terbabit menduduki tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Katanya, notis tersebut mengarahkan petani terbabit supaya mengosongkan tanah kebun yang diusahakan mereka dalam tempoh tujuh hari.

“Petani di sini sebenarnya akur dengan arahan oleh pihak PTG dan rundingan mengenainya sudah pun dilakukan sebelum ini.

“Mereka cuma minta pihak kerajaan menawarkan kawasan alternatif selepas mengusahakan kawasan pertanian tersebit sejak sekian lama,” katanya.

Untuk rekod, mengikut laporan PSM, pihak PKNP telah mengeluarkan surat tawaran pada 2012 kepada petani kawasan berkenaan yang memperihalkan butiran mengenai pajakan tanah pertanian milik PNPK di kawasan Perak Hi-Tech Park.

Ia melibatkan tanah gantian seluar dua ekar bagi tempoh pajakan 30 tahun dengan kadar sewaan RM40 per ekar setahun.

Bagaimanapun projek perak Hi-Tech park tidak dilaksanaka sepertimana yang dijadulkan, namun persefahaman tercapai antara PKNP dan Persatuan petani Moden Chemor, manakala petani-petanai Kanthan dibenarkan untuk terus mengusahakan tanah kebun mereka tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Sementara itu Karthiges berkata, susulan kejadian pagi ini pegawai daripada Pejabat Ahli Perlimen Tambun dan wakil pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta turun padang untuk berbincang.

“Kini keadaan sudah terkawal dengan kehadiran pihak polis, dan pihak-pihak berkenaan sedang melakukan perbincangan untuk menangani situasi yang berlaku,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ialah ahli parlimen Tambun manakala Adun Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad dari PKR.

Menjelang pilihan raya umum lalu, petani memberitahu Malaysiakini bahawa mereka berharap pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu akan menamatkan “mimpi ngeri” mereka.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/683972

Leave a Comment