BTS Media

Biden terbang ke Israel ketika pengeboman hospital di Gaza cetus kecaman meluas

GAMBAR: Penduduk Palestin yang cedera dibawa ke Hospital Al-Shifa selepas letupan di Hospital Al-Ahli. FOTO: Agensi Anadolu.

 

Oleh Zainal AS Rashid

LETUPAN maut di sebuah hospital di Bandar Gaza telah membantutkan usaha diplomatik Amerika Syarikat yang kononnya bertujuan untuk menangani krisis bencana kemanusiaan di wilayah itu.

Perkembangan terbaharu itu kini menimbulkan bayangan gelap terhadap lawatan Presiden AS Joe Biden itu, lapor akhbar The Guardian.

Lewat hari Selasa, Jordan telah membatalkan sidang kemuncak di Amman, di mana Biden sepatutnya mengadakan perbincangan dengan Raja Abdullah, presiden Mesir Abdel Fatah al-Sisi dan presiden Pihak Berkuasa Palestin Mahmoud Abbas.

Pembatalan itu dibuat ketika presiden AS sedang dalam perjalanan ke Israel untuk berbincang dengan Benjamin Netanyahu pada pagi hari Rabu.

Kementerian Kesihatan Gaza, yang dikendalikan oleh Hamas, mendakwa bahawa lebih 500 orang terbunuh dalam serangan ke atas hospital itu, yang merupakan serangan paling dahsyat ke atas orang awam di Palestin.

Seorang pegawai pertahanan awam Gaza berkata lebih 300 orang terbunuh dalam serangan itu, manakala sumber lain melaporkan kematian menjangkau 500 orang.

Hamas berkata serangan tersebut dilancarkan oleh pesawat tentera udara Israel, manakala pihak Israel pula mendakwa hospital itu terkena serangan roket yang dilancarkan oleh pejuang Jihad Islam Palestin.

Jihad Islam juga menafikan tanggungjawab.

Dalam satu kenyataan lewat pada hari Selasa, Biden berkata beliau “berang” dengan letupan di hospital itu, dan telah mengarahkan pasukan keselamatan AS mengumpulkan maklumat tentang apa yang berlaku.

Letupan hospital itu telah mencetuskan kemarahan di Timur Tengah.

Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi memberitahu Al Jazeera bahawa sidang kemuncak yang dirancang dengan Biden telah dibatalkan kerana “tiada gunanya bercakap sekarang tentang apa-apa kecuali menghentikan perang”.

Safadi berkata mesyuarat itu hanya akan diadakan apabila semua pihak bersetuju untuk menamatkan “perang dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin”.

Beliau menyalahkan Israel kerana kempen ketenteraan negara itu telah membawa seluruh wilayah berkenaan hampir ke jurang amat bahaya.

Susulan itu, White House telah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa, “Selepas berunding dengan Raja Jordan Raja Abdullah II, dan bagi menghormati tempoh berkabung yang diumumkan oleh Presiden Palestin Mahmoud Abas, Biden akan menangguhkan perjalanannya ke Jordan.

Sebelum itu, Abbas telah menarik diri daripada mesyuarat tersebut, selepas mengisytiharkan tempoh tiga hari perkabungan nasional di Palestin.

Jurucakap White House John Kirby memberitahu wartawan di aatas pesawat rasmi presiden AS, ‘Air Force One’ bahawa “keputusan untuk tidak pergi ke Jordan dipersetujui kedua-dua belah pihak “.

Raja Abdullah memberi amaran bahawa tindak balas Israel berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober yang menyebabkan lebih 1,300 rakyat Israel maut melampaui hak mempertahankan diri dan dianggap sebagai hukuman kolektif terhadap penduduk awam Palestin.

-BTS Media

Leave a Comment