BTS Media

Pulau Pinang akan larang pemilik rumah kos sederhana, rendah sewakan  unit mereka

Oleh Yusoff A. Shariff

KERAJAAN Pulau Pinang akan bertindak melarang rumah kos sederhana rendah dan rendah disewakan, sama ada kepada warga asing atau tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, terdapat syarat ketat bagi pemilikan unit kos sederhana rendah dan rendah, yang mendapat subsidi besar dari kerajaan.

Ia termasuk syarat tidak disalahgunakan, seperti menyewakan atau dijadikan asrama pekerja.

Beliau berkata pihaknya sedang menyiapkan kertas kerja untuk dibentangkan kepada Exco kerajaan negeri dalam beberapa minggu akan datang mengenai tindakan penguatkuasaan wajar yang perlu diambil.

“Ia sangat mudah… adakah kita akan membenarkan begitu ramai warga asing (pekerja asing) tinggal dalam kalangan kita? Itu tidak sihat. Ini juga termasuk unit yang disewakan kepada penduduk tempatan.

“Saya akan menghalang pemilik unit kos sederhana rendah dan rendah ini daripada menyewakan unit mereka (kerana) mereka mendapat subsidi yang besar.

Mengulas lanjut, Sundarajoo berkata beberapa pemilik memperoleh hasil sewa unit milik dengan harga serendah RM500 sebulan.

“Itu bukan tujuan kita membina unit kos sederhana rendah dan rendah ini. Sebaiknya kita ambil semula unit ini dan berikan kepada yang lebih layak,” tambahnya.

Sundarajoo berkata terdapat kes di mana kilang tertentu mengambil alih skim perumahan terbengkalai, termasuk satu di Seberang Prai Selatan, dan menjadikannya asrama pekerja.

Kerajaan negeri, katanya, tidak mempunyai masalah dengan itu. Jelasnya, beberapa projek berkenaan dibina di kawasan yang tidak strategik, jauh dari sempadan bandar.

“Itu boleh menjadi penyelesaian segera, di mana kilang menjadikan unit kosong ini kepada asrama pekerja yang terletak jauh daripada penduduk tempatan.

“Secara jangka panjang, kami sedang mempertimbang untuk menjadikan sudut tertentu dalam kawasan kilang sebagai asrama pekerja, yang terletak jauh daripada kawasan kediaman penduduk tempatan.

“Bayangkan jika kita memakai kaedah ini semasa kemuncak pandemik Covid-19. Kita akan dapat membendung virus daripada merebak,” katanya.

Sundarajoo berkata beliau perlu berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk meminda Perjanjian Jual Beli (SPA).

Beliau berkata, di peringkat kerajaan negeri, mereka mengambil tindakan sendiri.

“Kita akan bincang dengan penasihat undang-undang negeri untuk melakukan semua secara sah dan terbaik.

-BTS Media

Leave a Comment