LENGGONG: Seorang lelaki maut manakala isterinya parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di persimpangan lampu isyarat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong di sini semalam.
Mangsa yang maut pemandu Perodua Myvi dikenali Shaharudin Osman, 65, manakala isterinya, Asmawati Yahaya, 53, parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong, Farizul Anuar Razali berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 5.02 petang.
Katanya, kemalangan membabitkan kereta dinaiki pasangan suami isteri itu dengan tiga buah kenderaan iaitu Perodua Aruz, Toyota Avanza dan lori tangki.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati terdapat dua orang mangsa tersepit di dalam kereta Perodua Myvi. Seorang lelaki yang duduk di bahagian pemandu parah dan disahkan maut oleh pegawai perubatan.
“Operasi mengeluarkan mangsa tersepit segera dijalankan dengan menggunakan peralatan menyelamat,” katanya di sini.
Menurut beliau, mangsa yang cedera dipercayai isteri pemandu Perodua Myvi itu diserahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan kecemasan.
Katanya, dalam kejadian itu, pemandu tiga kenderaan lain cedera ringan.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 6.15 petang,” katanya.
Baca lagi: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/08/suami-maut-isteri-parah-nahas-empat-kenderaan/