BTS Media

RM1.098 juta masuk akaun Rosmah – Pegawai Affin Bank

GAMBAR: Malay Mail.

 

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Affin Bank mengesahkan di Mahkamah Tinggi hari ini, mengenai urus niaga wang tunai RM1.098 juta ke akaun bernombor terakhir 0058 menggunakan mesin deposit wang (CDM) di lima cawangan bank itu, antara 13 Oktober 2014 dan 8 Jun 2017.

Mengikut kenyataan pembukaan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib pagi tadi, akaun itu adalah milik Datin Seri Rosmah Mansor yang juga isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Penolong Pengurus Perkhidmatan Mesin Wang Pengeluaran Automatik (ATM) dan Sokongan Affin Bank, Nor Ashikin Abdullah, berkata beliau menerima permohonan daripada unit pengubahan wang haram (AMLA) Affin Bank pada 9 November 2018, untuk mendapatkan maklumat rekod transaksi deposit wang tunai menggunakan CDM bagi akaun 0058.

Nor Ashikin, 58, yang juga saksi pendakwaan pertama berkata, bagi tujuan itu beliau mengakses rekod elektronik Affin Bank untuk mendapatkan maklumat dimohon.

“Kemudian, saya mencetak satu laporan transaksi deposit wang tunai menggunakan CDM bagi akaun 0058 daripada rekod elektronik dengan menggunakan komputer di pejabat.

“Selepas itu, saya menyerahkan penyata terbabit kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya ketika membaca penyataan saksi di hadapan Hakim, K Muniandy, hari ini.

Terdahulu, hakim itu menolak permohonan pihak pendakwaan bagi menangguhkan perbicaraan kes membabitkan Rosmah atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM7.1 juta dan mengelak cukai.

Rosmah didakwa di Mahkamah Sesyen pada 4 Oktober 2018, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Beliau berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 2013 dan 2018.

Sementara itu, saksi pendakwaan kedua, Faizal Shamsuddin, memaklumkan pernah membantu Pengurus Kediaman Kompleks Seri Perdana, Putrajaya ketika itu, Roslan Sohari, mengikut arahan untuk mendepositkan wang tunai ke dalam akaun Affin Bank milik Rosmah.

Faizal, 48, yang juga bekas Pegawai Pengurusan Operasi di Bahagian Pengurusan dan Operasi Kompleks Seri Perdana berkata, bagi tujuan berkenaan, Roslan menyerahkan satu sampul surat berisi wang kepadanya dan nombor akaun bank Rosmah dicatatkan pada sampul surat itu.

“Roslan meminta saya untuk menyerahkan sampul surat berisi wang tunai kepada pegawai di Affin Bank untuk menguruskan deposit berkenaan.

“Pada hari sama, saya menyerahkan sampul surat berkenaan kepada seorang pegawai perempuan di Affin Bank, cawangan Bangunan Getah Asli, Kuala Lumpur, untuk didepositkan ke dalam akaun bank Rosmah,” katanya.

Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding ke 7 September depan untuk pengurusan kes.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/08/1144320/rm1098-juta-masuk-akaun-rosmah-pegawai-affin-bank

Leave a Comment