BTS Media

Kebakaran hutan: Puluhan ribu penduduk Kanada berpindah

GAMBAR: Channel 4 UK

 

KELOWNA (Kanada): Kebakaran di barat Kanada semakin buruk berikutan berlakunya dua kebakaran sekali gus dan memaksa ribuan penduduk berpindah.

Kebakaran hutan yang semakin merebak itu mengancam sebahagian besar Lembah Okanagan, yang sekian lama menjadi tarikan pelancong termasuk bandar Kelowna, British Columbia.

Menurut Menteri Pengurusan Kecemasan di wilayah itu, Bowinn Ma, situasi di destinasi pelancong menggemari perahu dan pendakian yang popular itu sangat dinamik.

“Jangan pergi ke kawasan yang dilanda kebakaran di wilayah itu untuk pelancongan,” katanya.

Kira-kira 30,000 orang diarah berpindah, manakala 36,000 lagi berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan, termasuk terpaksa lari untuk menyelamatkan diri.

Kelowna yang didiami 150,000 penduduk diselubungi asap tebal, susulan bandar itu menjadi tempat terbaharu beberapa kebakaran hutan yang melanda negara itu, sepanjang musim panas ini.

“Sungguh mengerikan terpaksa lalui udara sebegini. Hendak bernafas pun amat menggerunkan.

“Saya benar-benar mahu pulang,” kata seorang pekerja teknologi maklumat, Mary Hicks, 29, yang juga pelancong dari Montreal kepada AFP hari ini.

Bagaimanapun, buat masa ini beliau masih terperangkap di situ berikutan penerbangan pulangnya dibatalkan.

Lapangan terbang di bandar itu berharap dapat menyambung semula penerbangan minggu ini, bergantung pada jarak penglihatan.

Seorang penduduk, April, 39, yang melarikan diri dari kediamannya di timur Kelowna terpaksa menginap di sebuah hotel di luar bandar bersama dua anak yang masih kecil.

“Apabila saya perlu mengemas barang, pada masa itu saya menangis, menangis, dan menangis,” katanya.

Di seberang Tasik Okanagan, beberapa rumah di pinggir Kelowna Barat turut terbakar, walaupun pihak berkuasa di bandar itu kekal optimis mampu mengelakkan pemindahan membabitkan keseluruhan penduduk.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/dunia/amerika/2023/08/1143108/kebakaran-hutan-puluhan-ribu-penduduk-kanada-berpindah

Leave a Comment