BTS Media

Peguam Negara tak boleh diam diri mengenai ketiadaan ketua pendakwa raya dalam perbicaraan rasuah Zahid

Oleh Yusoff A. Shariff

PEGUAM Negara Tan Sri Idrus Harun perlu menjelaskan mengapa pendakwa utama dalam perbicaraan rasuah Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi terlibat dalam kes itu.

Peguam Mohamad Haniff Khatri Abdulla berkata ketiadaan timbalan pendakwa raya Datuk Raja Rozela Raja Toran sejak perbicaraan disambung pada 31 Julai telah mencetuskan persoalan sama ada terdapat campur tangan daripada eksekutif sejak Zahid menjadi timbalan perdana menteri, lapor NST.

Beliau berkata, kes tersebut melibatkan pertuduhan terhadap Zahid sebelum menjadi timbalan perdana menteri, tetapi beliau menyandang jawatan itu selepas dikehendaki menjawab kes prima facie (terhadapnya).

Melalui video Facebook semalam, beliau membangkitkan bahawa ini faktor penting kerana sehingga kini tiada penjelasan dibuat oleh Pejabat Peguam Negara berhubung ketidakhadiran Raja Rozela walaupun dalam keadaan mendesak.

Beliau mengulas laporan NST pada 3 Ogos yang melaporkan beliau berkata satu kemungkinan ketiadaan Rozela ialah Zahid boleh meminta supaya dia dipecat kerana ketegasan ketua pendakwa raya dalam mengendalikan kes itu.

Haniff bertanya sama ada Zahid tidak berpuas hati dengan cara dia dilayan, atau adakah kerana egonya terjejas, dan sekiranya benar itu adalah salah.

Beliau berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah dinasihatkan supaya tidak melantik mana-mana menteri yang berdepan sebarang perbicaraan kerana beberapa risiko dan tanggapan yang boleh timbul, dan ini mungkin sedang berlaku sekarang.

Haniff mempersoalkan mengapa Idrus dan Jabatan Peguam Negara berdiam diri mengenai perkara tersebut, dan menggesa agar mereka segera memberikan penjelasan.

Beliau berkata, semua persepsi ini boleh terhapus jika Idrus tampil memberikan penjelasan sejak hari pertama ketiadaan Rozela.

Menurut Haniff, berdasarkan undang-undang, ketua pendakwa raya boleh ditukar dari semasa ke semasa, tetapi ia mesti berdasarkan alasan munasabah. Antaranya ialah jika dinaikkan pangkat atau dipindahkan ke jawatan, kedudukan, bidang dan unit lain. Semua ini tidak menjadi isu.

“Tetapi adakah Rozela telah ditukar, dinaikkan pangkat atau dijadikan pesuruhjaya kehakiman? Jika ya, maka tidak ada persepsi negatif yang boleh timbul daripada ketiadaannya.

“Faktor seterusnya adalah kerana sakit. Jika ada masalah kesihatan yang dihadapi oleh mana-mana timbalan pendakwa raya, tugasnya akan diambil alih oleh pendakwa raya lain supaya perbicaraan tidak terjejas.

“Justeru, isu sama ada ketua pendakwa untuk perbicaraan rasuah Yayasan Akal Budi Zahid telah diketepikan atau tidak mesti dijawab oleh Idrus Harun.”

-BTS Media

Leave a Comment