BTS Media

Jangan main-main, timbalan pendakwa raya tegur Zahid

TIMBALAN Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran kebiasaannya kelihatan tenang bagaimanapun hilang sabar dalam perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi, selepas presiden Umno itu bersikap mengelak dalam memberi jawapan dalam pemeriksaan balas.

Raja Rozela berang apabila Zahid berulang kali enggan menjawab secara terus persoalan dikemukakan, namun sebaliknya memberi penjelasan.

Zahid kelihatan tidak mengambil peringatan nasihat hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah, selain peringatan berulang kali dibuat Raja Rozela.

Raja Rozela menamatkan pemeriksaan dengan mengatakan “terima kasih”, sambil Zahid membalas, “terima kasih kepada anda juga”.

Ketika itu, beliau menyatakan kepada bekas timbalan perdana menteri itu supaya “jangan main-main”.

“Hati-hati, Datuk Seri ini dalam mahkamah ya.

“Saya pegawai mahkamah dan anda bukan dekat kedai kopi, bukan dekat majlis tertinggi,” katanya

Terdahulu, beliau memberitahu Zahid supaya menjawab soalan dikemukakan secara terus dan akan mendapatkan penjelasan sekiranya perlu.

Ia berlaku apabila Zahid ditanya berhubung beberapa persoalan bagaimana RM17.9 juta daripada Yayasan Akalbudi, berada dalam deposit tetap dikendalikan firma guaman, Tetuan Lewis & Co, yang menjadi subjek satu daripada 12 pertuduhan penyelewengan dikenakan terhadapnya.

Peguam mewakili Zahid, Hisyam Teh Poh Teik, bangun dan berkata, Raja Rozela perlu berhenti memberi syarahan.

Zahid sebelum itu memberitahu mahkamah setiausaha syarikat tidak merekodkan kelulusan lembaga pemegang amanah yayasan itu untuk melabur RM10 juta dalam Armada Holdings Sdn Bhd, subjek dalam pertuduhan pecah amanah jenayah.

“Saya berbincang perkara itu dan mendapat kelulusan daripada dua pemegang amanah,” katanya.

Raja Rozela: Bagaimana ia berlaku sedangkan tiada rekod mesyuarat atau perbincangan?

Zahid: Ia disebabkan kesilapan setiausaha syarikat, bukan saya.

Zahid berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi, dan menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika berkhidmat sebagai menteri dalam negeri.

Dua belas daripada pertuduhan itu membabitkan, lapan bagi rasuah dan selebihnya 27 pengubahan wang.

Perbicaraan bersambung.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/06/30/jangan-main-main-timbalan-pendakwa-raya-tegur-zahid/

Leave a Comment