TAMPIN: Masalah kos sara hidup yang tinggi termasuk harga barangan yang terus melambung masih membelenggu rakyat negara ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata isu kos sara hidup itu adalah perkara pokok yang sepatutnya diuruskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tiada benda yang turun, semuanya naik, pendapatan kita tidak bertambah, masih ramai yang tiada pekerjaan, belia tiada pekerjaan, ibu bapa yang menanggung mereka tidak mampu nak uruskan nasib keluarga.
“Dulu bila pergi ke pasar, RM100 boleh dapat satu troli, sekarang suku troli pun tak ada, sebab barang sudah terlalu mahal. Soalan pokok inilah yang patut diuruskan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya berucap pada Ceramah Perdana Peringkat Parlimen Tampin di FELDA Jelai 4, Gemas, dekat sini, malam tadi.
Muhyiddin berkata, PN akan mengumumkan manifesto Pilihan Raya Negeri bagi setiap enam negeri membabitkan pelbagai perkara untuk kepentingan rakyat pelbagai kaum.
Katanya, manifesto bagi Selangor akan diumumkan pada Jumaat ini sebagai tawaran kepada pengundi di negeri itu, diikuti negeri lain.
“Di Negeri Sembilan, kita akan memperkenalkan beberapa perkara dalam manifesto termasuk bangunkan ekonomi, pendidikan, sosial dan bidang-bidang lain.
“Bila mana kita (PN) dapat membentuk kerajaan negeri ini, kita akan pimpin supaya setiap masyarakat dalam keadaan apa sekalipun yang memerlukan bantuan, kita akan usahakan dengan sebaik-baiknya. Ini janji kami dan bila kami berjanji, kami akan laksanakan,” katanya.