BTS Media

Tak benar Hadi Awang dilarang masuk Arab Saudi

Oleh Fetty Rara

PAS menafikan satu kenyataan kononnya dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi yang mengenakan larangan masuk ke atas presiden partinya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Kenyataan yang tersebar dalam talian pada Isnin (31 Julai) memfitnahkan bahawa Abdul Hadi dilarang memasuki negara itu kerana penglibatannya dengan Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS).

Dalam post Facebook pada Selasa (1 Ogos), PAS berkata kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Arab Saudi menggunakan kalendar Hijrah dan bukannya Gregorian.

Parti itu berkata, presiden PAS itu bukan lagi naib presiden IUMS, dan ini membuktikan bahawa pihak mereka kini tiada modal lagi untuk bertanding secara demokratik, matang dan bermaruah dalam enam pilihan raya negeri akan datang.

Kenyataan fitnah bertarikh 31 Julai itu menyenaraikan sebab larangan terhadap Abdul Hadi seperti, didakwa berpegang kepada “ideologi melampau” yang boleh mengancam keselamatan dan kepentingan kerajaan, mendorong umat Islam menggulingkan kerajaan atas nama jihad (perjuangan) dan kerana menyokong kumpulan Syiah.

Pada tahun 2017, Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain telah menyenaraikan  IUMS sebagai organisasi yang didakwa menyokong keganasan.

IUMS yang berpangkalan di Qatar ditubuhkan pada tahun 2004 oleh ulama Islam terkemuka dari Mesir Yusuf al-Qardawi, yang juga dikaitkan oleh Arab Saudi dengan keganasan.

Sebenarnya, IUMS hanya berusaha untuk mewujudkan perdamaian antara Syiah dan Muslim Sunni.

-BTS Media

Leave a Comment