BTS Media

Selepas ugutan kereta polis, Fahmi diserang lagi kerana kenyataan ‘biadab’ mengenai umur Mahathir

MENTERI Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mendapat kecaman daripada pengguna media sosial kerana menyindir usia Dr Mahathir Mohamad, lebih sebulan selepas beliau dikecam secara meluas kerana mengancam pengguna TikTok dengan tindakan polis jika mereka memuat naik komen mengkritik kerajaan.

Pada Jumaat, ketua penerangan PKR itu menggunakan istilah “Maha Tua” untuk merujuk kepada pemimpin berusia 98 tahun itu, menyindir prestasi bekas perdana menteri tersebut dalam pilihan raya umum tahun lepas apabila beliau tewas di Langkawi, Kedah.

“Dia boleh bagi bayangan, firasat dia, dia baca PN boleh menang 5-1. Hai Maha Tua, kamu kalah dekat Langkawi, hilang deposit!” katanya dipetik pada ucapan dalam satu ceramah di Taman Medan, Petaling Jaya.

Video ucapan penuh Fahmi itu kemudiannya dimuat naik oleh portal berita pro Pakatan Harapan (PH) Malaysiakini di platform YouTube.

Fahmi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mahathir meramalkan Perikatan Nasional (PN) akan menang mudah 5-1 dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Rata-rata pengguna maya yang menonton video itu meluahkan kekecewaan terhadap menteri berkenaan dengan melabelkan beliau sebagai “terlalu mentah” dalam politik tetapi sudah “celupar” atau kurang ajar.

“Kamu baru setahun jagung, Tun Mahathir itu banyak jasa kepada negara.

“Walaupun kamu ahli Parlimen berpuluh tahun belum tentu dapat majukan Malaysia seperti Tun M, tulis mohdfairuz9876.

Mohd Saif pula mempersoalkan pengisian ucapan Fahmi sepanjang 40 minit itu sebagai kosong dan tiada idea-idea baru yang dikemukakan untuk kempen PRN.

Sementara itu, segelintir yang lain membayangkan masa depan Fahmi dalam perjalanan politik tidak mampu bertahan lama disebabkan sikapnya yang secara terbuka tidak menghormati orang yang lebih tua dan berpengalaman luas.

“Dia akan berterusan mengharapkan PMX sahaja untuk terus bersuara,” tulis TaibAhmad4218.

“Berhati-hati menegur orang tua. Jangan hina orang berjasa kepada negara,” tulis studio0733.

Pada 26 Jun lalu, dalam siaran langsung TikTok Live yang dihoskan oleh Fahmi berakhir dengan beliau mengancam penonton untuk mengambil tindakan polis kerana menyiarkan komen mengkritik beliau dan kerajaan semasa.

Fahmi berada dua jam dalam siaran itu apabila beliau nampaknya berdepan banyak komen yang menyindirnya dan mempersoalkan banyak dasar kerajaan.

“Kamu semua yang menyertai sesi live saya dan membuat kenyataan seperti ini, kamu sedang dipantau oleh pihak berkuasa.

“Jangan marah saya jika ada panggilan atau kereta polis di depan rumah anda. Kami sedang memantau, jaga kelakuan anda,” katanya.

Baca lagi: https://www.malaysianow.com/my/news/2023/07/31/selepas-ugutan-kereta-polis-fahmi-diserang-lagi-kerana-kenyataan-biadab-mengenai-umur-mahathir

Leave a Comment