BTS Media

Kumpulan ‘The 1975’ diharam buat persembahan di Malaysia, GVF dibatalkan

GAMBAR: Facebook.

 

KUMPULAN The 1975 disenarai hitam daripada membuat persembahan di negara ini selepas aksi kontroversi di Good Vibes Festival (GVF) 2023 malam tadi.

Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-Puspal) berkata, tindakan artis dari Britain itu sangat biadab malah satu penghinaan, dan mempeleceh undang-undang negara.

“JK-Puspal membuat laporan polis terhadap artis tersebut dan pihak penganjur atas kecuaian serta kegagalan mereka mematuhi syarat ditetapkan.

“Ketika permohonan dibuat, pihak penganjur memberi jaminan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap persembahan artis tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Persembahan The 1975 malam tadi dihentikan serta-merta selepas vokalisnya Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat dalam konsert di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Dia didakwa memegang botol arak atas pentas, selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Terdahulu, kerajaan mengarahkan pembatalan serta-merta baki dua hari festival itu yang sepatutnya berlangsung hari ini dan esok, susulan kontroversi dicetuskan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata arahan itu dibuat selepas pihaknya berjumpa penganjur iaitu Future Sound Asia.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/07/22/the-1975-diharam-buat-persembahan-di-malaysia/

Leave a Comment