BTS Media

Peniaga dilarang guna akuarium jual air – Ketua Pengarah Kesihatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melarang penggunaan akuarium sebagai bekas penyimpanan air untuk jualan kerana berkemungkinan mengandungi bahan kimia dan memberi kesan kepada kesihatan pembeli.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata tindakan menjual air menggunakan bekas bukan untuk tujuan makanan adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Merujuk isu tular di media massa dan media sosial berkaitan penggunaan akuarium sebagai bekas penyimpanan air untuk tujuan jualan, beliau berkata ia menjadi satu kesalahan kerana akuarium berfungsi sebagai bekas memelihara ikan.

“Akuarium kebiasaannya diperbuat daripada bahan kaca atau akrilik atau plastik dan berkemungkinan mengandungi bahan kimia seperti plumbum atau phthalates yang boleh larut dalam air seterusnya mencemarkan air, sekali gus boleh mengakibatkan kesan kepada kesihatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas penjualan makanan termasuk penjualan minuman yang menggunakan bekas bukan untuk tujuan makanan.

Beliau juga mengingatkan kepada penjual dan pengguna untuk memandang serius serta memastikan makanan yang dijual selamat dan berkualiti untuk semua.

“KKM komited untuk memastikan keselamatan dan kualiti makanan terjamin agar kesihatan pengguna sentiasa terpelihara,” katanya.

Katanya, pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq.

Sebelum ini, tular gambar penjualan ‘air balang’ menggunakan akuarium sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1129311/dilarang-guna-akuarium-jual-air-ketua-pengarah-kesihatan

Leave a Comment