GAMBAR ATAS: Bomba Kuala Kubu Bharu.
HULU SELANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga Ahmad Ammar Akhtar Tajul Azwa yang masih hilang di Sungai Desa Alam Ria, Batang Kali, di sini diteruskan 8.45 pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata operasi SAR kanak-kanak berusia tujuh tahun itu diteruskan dengan menggunakan enam bot.
“Pasukan menyelamat dibahagikan kepada enam sektor pencarian sejauh 36 kilometer di sekitar Hulu Selangor menghala ke Sungai Selangor.
“Sesi pencarian juga dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan agensi lain seperti Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ulu Bernam dan Batang Kali, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, operasi SAR diperluaskan sehingga 10 kilometer dari lokasi kejadian dan dilakukan secara ‘water surface searching’ menyusur ke hilir sungai sehingga ke jambatan Batang Kali dengan jarak tiga kilometer.
Media sebelum ini melaporkan mangsa dipercayai mahu mengambil seliparnya yang terjatuh di sungai berkenaan.