GAMBAR ATAS: Bernama.
KUALA LUMPUR: Pemilik kelab komedi Crackhouse Mohamad Rizal Johan Van Geyzel didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum melalui aplikasi Facebook, tahun lalu.
Hakim N Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Rizal, 40, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nurul’Ain Abu Bakar memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi ketiga yang difailkan Mohamad Rizal pada 7 Jun lalu.
“Hari ini ditetapkan untuk sebutan bagi keputusan representasi dan pihak pendakwaan bersetuju menerima representasi untuk OKS mengaku bersalah bagi pertuduhan pertama dihadapinya.
“Bagaimanapun, dua lagi pertuduhan dihadapi Mohamad Rizal sebelum ini dipertimbangkan sebagai mengambil kira take into consideration (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah,” kata Nurul’Ain.
Mohamad Rizal, berkemeja putih kemudian menukar pengakuan kepada bersalah bagi pertuduhan pertama dihadapinya dan mahkamah turut memerintahkan dia dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda. OKS membayar denda berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Rizal didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel’ pada 4 Julai 2022.
Hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ di sini, pada 1.17 tengah hari, 13 Julai tahun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.
Dia juga berdepan dua lagi pertuduhan membabitkan penghantaran komunikasi jelik di laman media sosial iaitu Instagram “rizalvangeyzel” dan TikTok “rizalvangeyzel” pada 5 dan 6 Julai 2022 dan hantaran itu dibaca pada tempat, masa dan tarikh sama, mengikut seksyen serupa.
Terdahulu, TPR Noor Haslinda Che Seman memohon hukuman denda berat dan bersifat literal, mengambil kira kesalahan dilakukan OKS adalah serius sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat yang mengganggu keharmonian negara.
“Pengakuan salah OKS bukan bersifat automatik untuk dia mendapatkan hukuman rendah kerana hukuman yang dijatuhi mahkamah ini akan memberi pengajaran bukan sahaja kepada OKS tetapi kepada masyarakat umum supaya tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.
Peguam M Pravin yang mewakili Mohamad Rizal pula memohon hukuman denda yang rendah atas alasan anak guamnya menanggung tiga anak termasuk seorang anak kurang upaya (OKU).
“OKS mempunyai bapa berusia 74 tahun menghidap penyakit jantung kronik selain perlu menanggung kos rawatan bapanya. Selepas kejadian ini, OKS telah hilang sumber pendapatan utamanya sebagai stand up comedy (komediri) kerana banyak penganjur telah membatalkan penglibatan OKS dalam program mereka.
“OKS kini telah bercerai dengan isterinya dan menjaga tiga anak masing-masing berusia lingkungan tiga tahun hingga 11 tahun. Dia telah menyesal dan bertaubat dengan kesalahan yang dilakukannya selain tiada niat menyakitkan hati orang lain,” kata peguam itu. – BERNAMA