Oleh Fetty Rara
VIDEO seorang anggota tentera memeluk anjingnya sambil duduk di tangga selepas sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini amat menyentuh hati ramai orang.
Anggota tentera dalam video yang menamakan dirinya Micro Junior itu berkata anjing yang dinamakan Loki itu, telah berkhidmat bersamanya sejak bertahun sebagai teman setia, dan meraikan Hari Kebangsaan Ke-65 sebagai yang terakhir mereka bersama kerana mereka akan berpisah tidak lama lagi, lapor The Star.
“Ini adalah sambutan kemerdekaan kami yang terakhir kerana kami akan berpisah tidak lama lagi. Kami telah menghadapi ranjau kehidupan bersama selama ini dan dia adalah kawan sejati saya,” kata anggota tentera yang berasal dari Sarawak itu.
“Saya akan meletakkan jawatan kerana perkhidmatan saya telah sampai ke penghujung,” tambahnya dalam komen pada video yang dimuat naik ke Facebook Panggilan Pertiwi pada Jumaat (2 Sept).
Kisah itu turut mendapat perhatian Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang mengucapkan terima kasih atas dedikasi kepada kedua-dua mereka dan mendoakan yang terbaik untuk masa depan mereka.
“Tersentuh hati apabila melihat gambar-gambar itu. Perkongsian Micro Junior-Loki akan dikenang dan dihargai sampai bila-bila. Terima kasih Micro Junior atas jasa dan dedikasi anda.
“Semoga Loki akan terus cemerlang bersama tuan baharunya,” kata Hishammuddin.
Video sepanjang 25 saat itu pada masa laporan telah menerima hampir 80,000 tontonan dan menarik reaksi daripada lebih 3,200 pengguna di Facebook, dan 56,000 suka di TikTok.
-BTS Media