BTS Media

Pulau Pinang bakal daftar dialek Hokkien sebagai warisan negeri

GAMBAR ATAS: FACEBOOK Chow Kon Yeow.

 

Oleh Fetty Rara

DIALEK Hokkien bahasa Cina di Pulau Pinang akan didaftarkan sebagai warisan negeri.

Inisiatif tersebut adalah kerana generasi kelahiran Pulau Pinang sekarang dikatakan lebih tertumpu pada Bahasa Malaysia hingga dialek tersebut tidak lagi digunakan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri sementara akan berusaha untuk memastikan dialek itu tidak luntur penggunaannya.

“Ia telah dicadang untuk diwartakan sebagai warisan negeri di bawah Enakmen Warisan Pulau Pinang 2011,” kata ketua menteri sementara Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada forum awam mengenai dialek Hokkien Pulau Pinang di George Town hari ini.

Dalam ucapannya, Chow berselang seli menggunakan dialek Hokkien dan Bahasa Melayu dalam ucapannya.

Beliau berkata pewartaan dialek itu adalah salah satu cara untuk mengekalkan warisan budaya Pulau Pinang, tetapi diharap penduduk tempatan juga akan terus menggunakannya dalam percakapan harian mereka.

Pada majlis yang sama, Chow juga melancarkan saluran Kamus Hokkien Pulau Pinang dan Belajar Hokkien Pulau Pinang di YouTube yang diusahakan oleh aktivis tempatan, Timothy Tye.

Exco pelancongan dan ekonomi kreatif negeri sementara Yeoh Soon Hin berkata pewartaan dialek Hokkien Pulau Pinang sebagai warisan negeri sedang dijalankan.

“Kita perlu serahkan kepada majlis warisan negeri dan ia perlu dibawa untuk kelulusan exco negeri,” katanya di forum yang sama, lapor Malay Mail.

Menurut Yeoh, dialek itu telah digunakan di Pulau Pinang sejak lebih 300 tahun lalu, tetapi ia perlahan-lahan semakin pupus apabila generasi muda membesar tanpa mempelajarinya.

Katanya, oleh sebab sebahagian besar etnik Cina di Pulau Pinang belajar bahasa Mandarin, Bahasa Malaysia dan Inggeris di sekolah, maka dialek Hokkien kini jarang digunakan.

Selain menganjurkan forum tentang dialek itu, Yeoh berkata negeri Pulau Pinang juga menggalakkan institusi pendidikan menyokong penggunaan bahasa Hokkien dalam kalangan generasi muda.

“Saya juga telah meluluskan peruntukan untuk menyokong inisiatif Kolej Universiti Han Chiang bagi menghasilkan video Hokkien Pulau Pinang,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment