BTS Media

Zuraida selar Loke berhubung peranan DAP dalam peletakan jawatan Dr Mahathir

Oleh Yusoff A. Shariff

BEKAS Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin mengecam Setiausaha Agung DAP Anthony Loke kerana menolak dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa perdana menteri Anwar Ibrahim berpegang kepada manifesto DAP kerana pengaruh parti itu dalam kerajaan perpaduan.

Zuraida turut mengingatkan Loke tentang peranan DAP dalam memberi tekanan supaya Dr Mahathir berundur sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Mungkin Anthony Loke lupa bahawa DAP adalah salah satu parti yang memberi tekanan kepada Tun Dr Mahathir untuk melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Beliau menambah bahawa “ketidakikhlasan” DAP telah terbukti pada 10 Mei 2019, apabila orang kuat parti itu Lim Kit Siang dalam ucapan semasa PRK Sandakan berkata beliau akan berundur sekiranya Dr Mahathir tidak menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan itu kepada Anwar Ibrahim.

“Ini antara bukti niat sebenar DAP yang sememangnya tidak ikhlas dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas kemenangan besar gabungan parti itu pada 2018.

“Kenyataan pemimpin DAP paling berpengaruh ketika itu telah menyebabkan banyak pihak dalam gabungan PH berasa tidak selesa dan mula mempertikaikan niat sebenar DAP,” katanya dalam satu kenyataan.

Zuraida juga berkata jika tekanan tidak diberikan kepada Dr Mahathir pada ketika itu, beliau tidak akan meletakkan jawatan atau bercadang untuk berbuat demikian.

Semalam, Setiausaha Agung DAP itu dalam satu kenyataan menafikan dakwaan Dr Mahathir bahawa parti itu akan mempengaruhi kerajaan perpaduan untuk menukar status agama Islam sebagai agama rasmi negara kepada sebuah negara sekular.

Beliau berkata, bekas ahli parlimen Langkawi itu membuat kenyataan tidak bertanggungjawab dengan mendakwa dengan menguasai 40 kerusi parlimen dalam kerajaan, DAP akan mengugut Anwar Ibrahim untuk berbuat demikian.

-BTS Media

Leave a Comment