SELEPAS Muda mengumumkan bertanding solo pada PRN, Pemuda PKR mencabar parti itu menyatakan pendirian sama ada masih menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim atau sebaliknya.
Ketuanya Adam Adli berkata sekiranya Muda tidak lagi menyebelahi kerajaan perpaduan, parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu boleh “berpindah” ke blok pembangkang.
“Kalau masuk PRN hanya kerana gagal dapatkan ‘ruang nak bertemu dan bermesyuarat’, maka saya anggap Muda memang bukan rakan kongsi yang sesuai disimpan.
“Maka Muda hari ini perlu umum, masih anggap diri sebagai blok kerajaan atau tidak lagi menyokong,” kata timbalan menteri belia dan sukan itu di Twitter.
“Jika tidak lagi sokong, boleh lintas ke blok pembangkang. Tiada siapa halang, tidak salah pun dari segi undang-undang.”
Terdahulu, Syed Saddiq berkata cubaan partinya untuk bekerjasama dengan pentadbiran Anwar tidak mendapat kerjasama apabila usaha untuk mengadakan pertemuan dengan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak diendahkan.
Kenyataan itu menyusul selepas Muda mengumumkan bertanding solo pada PRN, mewujudkan pertembungan dengan PH dan BN walaupun ketiga-tiganya adalah sebahagian daripada blok kerajaan di Dewan Rakyat.
Adam ketika membidas Ahli Parlimen Muar itu mempersoalkan tindakannya yang disifatkan sebagai “matlamat peribadi”, bukannya perjuangan untuk rakyat.
“Masuk PRN ertinya mencabar penyandang; dengan tujuan menggantikan penyandang tersebut. Adakah itu matlamat Muda? Tak ada orang masuk pilihan raya sebab suka-suka, semua nak menang dan tubuhkan kerajaan.
“Jawab dulu, Muda ada matlamat tak untuk ganti PH di negeri-negeri ini?,” soal Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu.