PUTRAJAYA: Lebih lima juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya sempena Aidiladha yang akan disambut esok.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata pertambahan jumlah kenderaan dijangka berlaku secara berperingkat sejak semalam hingga Isnin ini.
“Jumlah purata peningkatan trafik harian di seluruh lebuh raya mampu mencecah sehingga 5.1 juta transaksi kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persediaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha di Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil (Arah Selatan) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) hari ini.
Nanta berkata, daripada jumlah itu, purata harian trafik di Lebuhraya Utara Selatan dijangka mencapai sehingga dua juta kenderaan, manakala di Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 masing-masing mencecah sehingga 170,000 dan 60,000 kenderaan sehari.
Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan LLM bersedia sepenuhnya untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya dan syarikat konsesi lebuh raya diarahkan mengambil langkah proaktif bagi meminimumkan kesan negatif peningkatan trafik.
Katanya, syarikat konsesi diminta memastikan tiada kerja pembinaan dan penyelenggaraan membabitkan penutupan lorong lebuh raya bermula 24 Jun hingga Isnin ini, selain mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pengguna Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 bagi membantu pengguna merancang perjalanan.
Nanta berkata, pihak PLUS akan mengaktifkan laluan ‘smart lane’ atau laluan kontra di beberapa lokasi berdasarkan keperluan dan kesesuaian bagi menambah kapasiti dan melancarkan trafik.
Menurutnya, langkah lain termasuk meningkatkan pengurusan pengoperasian dengan menambah sehingga 20 peratus petugas lebuh raya seperti anggota peronda, petugas di plaza tol dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol dan menempatkan petugas untuk memberi bantuan kepada pengguna yang bermasalah.
Nanta berkata, pihaknya juga akan memastikan syarikat konsesi menyediakan anggota Emergency Response Team (ERT) secukupnya bagi mempercepatkan tempoh tindakan menangani sebarang insiden yang berlaku di lebuh raya.
Katanya, untuk kemudahan pengguna lebuh raya, Pusat Pengurusan Trafik (TMC), LLM akan beroperasi 24 jam pada hari ini dan Ahad ini bagi membantu pengguna lebuh raya mendapatkan maklumat trafik terkini.
Dalam pada itu, Nanta berkata bagi mengatasi kesesakan laluan RFID, kakitangan akan disediakan dengan pengimbas mudah alih bagi melancarkan trafik.
– BERNAMA