GAMBAR ATAS: BTS Media.
Oleh Yusoff A. Shariff
DIANGGARKAN lebih dua juta kenderaan berada di jalan raya untuk cuti perayaan Krismas dan hujung minggu yang panjang, seperti dijangkakan oleh syarikat konsesi Lebuhraya Utara Selatan PLUS Malaysia Bhd, dan beberapa lebuh raya utama lain.
Sejak semalam, kebanyakan lebuh raya utama sibuk, apabila ramai mengambil peluang hujung minggu yang panjang untuk pulang ke kampung halaman dan menuju ke destinasi percutian.
Kadar trafik, terutamanya arah selatan, telah mula meningkat.
Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Zakaria Ahmad Zabidi menasihatkan pengguna jalan raya supaya memastikan mereka bersedia dari segi fizikal dan mental untuk perjalanan, terutamanya memandangkan keadaan cuaca yang mencabar, dan memastikan Touch ‘n Go dan aplikasi eWallet mereka mempunyai baki mencukupi untuk mengelakkan kelewatan di plaza tol.
PLUS turut mengeluarkan jadual masa perjalanan untuk membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan mereka.
“Mereka yang dari Lembah Klang menghala ke utara atau selatan dinasihatkan memasuki lebuh raya sebelum pukul 10.00 pagi, manakala mereka yang menuju ke timur dinasihatkan berbuat demikian antara tengah hari hingga pukul 4.00 petang,” katanya.
Zakaria berkata mereka yang menuju ke Lembah Klang dari negeri lain dinasihatkan memasuki lebuh raya itu sebelum pukul 10.00 pagi.
“Nasihat itu memberi tumpuan kepada pengagihan trafik dan bertujuan mengurangkan kesesakan di lebuh raya, terutamanya di laluan utama, plaza tol dan kawasan rehat semasa musim perayaan. Ia boleh didapati daripada www.plus.com.my atau mana-mana platform media sosialnya,” katanya.
-BTS Media