BTS Media

Pua kata UMNO korup, UMNO kata boleh dikeluarkan bila-bila daripada kerajaan perpaduan 

Oleh Yusoff A. Shariff

SETIAUSAHA Agung DAP Loke Siew Fook berkata kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua mengenai UMNO malam tadi adalah tidak wajar.

Pada satu majlis makan malam kutipan dana DAP malam tadi, Pua berkata penyokong Pakatan Harapan (PH) mesti membuktikan bahawa “parti berbilang kaum yang bersih dan tidak rasuah” boleh melakukan lebih baik “daripada gabungan rasuah seperti Barisan Nasional, UMNO dan Bersatu”, lapor FMT.

“Serangan sedemikian ke atas rakan gabungan utama dalam kerajaan perpaduan tidak sepatutnya dibuat dan tidak wajar,” kata Loke dalam satu kenyataan.

Pada majlis itu, Pua dilaporkan berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang merupakan pengerusi PH, mesti melengkapkan penggal penuhnya sebagai “perdana menteri popular” dan membuktikan bahawa politik gabungan pelbagai kaum boleh berjaya di Malaysia.

Pua meminta dibuktikan bahawa parti berbilang kaum yang bersih dan tidak rasuah sebenarnya boleh melakukan lebih baik daripada gabungan rasuah seperti Barisan Nasional, UMNO, antara lain.

Kenyataan Pua itu telah menaikkan kemarahan beberapa pihak dalam UMNO, termasuk Ketua Pemuda UMNO Akmal Saleh yang berkata ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi UMNO.

“Pua perlu sedar bahawa tindakannya merobek-robek keharmonian dan persefahaman yang dipupuk dalam kerajaan perpaduan,” katanya.

Beliau mengingatkan Pua supaya sedar bahawa sokongan UMNO dalam kerajaan perpaduan adalah penting.

Kenyataan Pua turut dikecam oleh, ahli majlis tertinggi UMNO Isham Jalil yang mengingatkan bahawa pengerusi DAP Lim Guan Eng juga telah didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah.

Pua adalah pembantu kepada bekas menteri kewangan Lim di bawah pentadbiran PH sebelum ini.

Beliau bertanya mana kredibiliti DAP yang kononnya bersih berbanding UMNO, yang dikatakan rasuah.

Isham berkata, jika UMNO begitu korup dan kotor, tidak perlu menunggu pilihan raya umum ke-16 kerana sekarang pun UMNO boleh dikeluarkan daripada kerajaan perpaduan.

-BTS Media

Leave a Comment